Bazar Ramadan: Bubur lambuk, martabak antara yang naik harga

Mastura menunjukkan bubur lambuk yang dijual pada harga RM3.50
Mastura menunjukkan bubur lambuk yang dijual pada harga RM3.50
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengunjung setia 'memburu' menu-menu di bazar Ramadan seperti kuih-muih serta variasi menu lain terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk Ramadan kali ini.

Tinjauan Sinar Harian di bazar Ramadan Jalan Raja Alang dan sekitar Kampung Baru di sini mendapati berlaku peningkatan harga makanan melibatkan beberapa item popular.

Antara makanan popular tersebut ialah bubur lambuk dan martabak bahkan minuman dalam balang juga tidak terkecuali namun masih bergantung kepada jenis minuman.

Seorang peniaga bubur lambuk terkenal di Kampung Baru, Mastura Zainal Abidin, 30-an, berkata, bubur lambuk dijual pada harga RM3.50 sebungkus berbanding RM3 pada tahun lalu.

Kuih-muih tanpa mengira jenis seperti karipap masih kekal 60 sen sebiji.
Kuih-muih tanpa mengira jenis seperti karipap masih kekal 60 sen sebiji.

"Saya generasi kedua meneruskan legasi bubur lambuk Pak Zainal, ada sedikit kenaikan kerana harga bahan mentah naik namun resipi tradisional tetap kami dikekalkan.

"Sudah lebih 20 tahun kami berniaga di Kampung Baru dan kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan dan ada juga peniaga jual sampai RM4 sebungkus bubur lambuk," katanya pada Selasa.

Sementara itu, seorang peniaga martabak, Hanif Roslan, 28, berkata, harga makanan itu turut naik 50 sen pada tahun ini berbanding harga tahun lalu RM4 sekeping.

Artikel Berkaitan:

"Naik 50 sen sebab harga barang naik, bawang besar naik dari RM20 sampai lebih RM30 untuk setiap 10 kilogram, sebab itu harga martabak naik sedikit," kata peniaga di bazar Ramadan Jalan Raja Alang itu.

Hanif (kanan) memaklumkan harga martabak naik 50 sen pada tahun ini.
Hanif (kanan) memaklumkan harga martabak naik 50 sen pada tahun ini.

Dalam pada itu, kuih-muih pula tanpa mengira jenis seperti karipap masih kekal 60 sen sebiji, namun lebih tinggi sedikit sekiranya kuih tersebut diletakkan di dalam bekas bagi lima biji kuih.

Sementara itu, seorang pengunjung, Abdulah Salim, 28, ketika ditemui pula berkata, dia memang menjangkakan peningkatan harga makanan berlaku namun tidak terlalu ketara sehingga bebankan pengguna.

“Orang ramai sudah menjangkakan perkara ini. Jadi apabila kami nampak harga makanan sedikit tinggi daripada kebiasaan, ia tidaklah terlalu ketara dan membebankan.

“Namun terdapat banyak gerai menjual variasi makanan serupa jadi mereka mempunyai pilihan untuk melakukan pembelian sama ada di gerai yang murah atau mahal,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28