KKM teruskan Operasi Ramadan tahun ini

KKM meneruskan Operasi Ramadan 2024 yang dilaksanakan serentak di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan di seluruh negara.Gambar hiasan
KKM meneruskan Operasi Ramadan 2024 yang dilaksanakan serentak di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan di seluruh negara.Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan Operasi Ramadan 2024 yang dilaksanakan serentak di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan di seluruh negara.

Menerusi kenyataan pada Selasa, KKM memaklumkan aktiviti operasi itu melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan bagi memastikan juadah yang disediakan atau dijual adalah selamat serta mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) masing- masing," katanya.

Menurut kenyataan itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media elektronik dan media sosial.

"Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka," jelas KKM.

Tambah kementerian itu, sebelum membeli makanan, orang ramai dinasihati agar 'perhati dan pilih' serta amalkan 'lihat, hidu, rasa' kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

"Peniaga pula dinasihatkan supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi terlalu awal dari waktu untuk dijual," kata KKM.

Menurutnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana- mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq," ujar kementerian itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!