Berhabis layan nafsu berbuka puasa

Ramadan bukanlah masa untuk berhabis melayan nafsu makan, tetapi mengajar untuk sentiasa bersederhana. Foto 123RF
Ramadan bukanlah masa untuk berhabis melayan nafsu makan, tetapi mengajar untuk sentiasa bersederhana. Foto 123RF
A
A
A

"KAT mana nak berbuka puasa petang ini?"

Itu persoalan yang tidak asing lagi setiap kali bulan Ramadan.

Bagi sesetengah orang, cukup sekadar berbuka puasa di rumah dengan juadah ringkas.

Masa inilah peluang duduk menikmati hidangan bersama keluarga yang mungkin jarang-jarang bersama kerana kesibukan kerja.

Ada juga yang memilih masjid atau surau sebagai lokasi bagi memudahkan untuk bersolat Maghrib dan Isyak berjemaah, seterusnya bersama-sama menunaikan solat sunat tarawih.

Namun, tak kurang juga yang memilih lokasi-lokasi menarik untuk berbuka puasa sambil bersantai bersama kawan-kawan.

Penulis melihat, Ramadan bukan setakat bulan berpuasa tetapi tidak ubah seperti pesta makanan terutama di restoran dan hotel-hotel.

Ibarat festival dengan pelbagai sajian dihidangkan, sehingga makanan yang tidak pernah dilihat sebelum ini pun ada.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, inilah salah satu dugaan Ramadan umat Islam.

Pasti ada antara kita yang akan terperdaya dengan pelbagai promosi makanan dan bufet di restoran-restoran atau hotel-hotel.

Harganya ada murah dan ada yang mahal sehingga mencecah ratusan ringgit seorang.

Dari segi ekonomi, mungkin ia adalah baik kerana inilah masa untuk ‘membuat duit’ dalam ekosistem makanan kerana agensi kerajaan, swasta dan korporat banyak menganjurkan program iftar sepanjang Ramadan.

Pada masa yang sama membantu industri restoran dan hotel bernafas, selepas pendapatan mereka merundum akibat pandemik Covid-19 lalu.

Namun, penulis melihat pada masa kini berbuka puasa secara bufet di restoran atau hotel mewah sudah menjadi trend sehingga ada sanggup membayar sehingga RM200 seorang hanya kerana mahu merasai pengalaman tersebut.

Bagi sesetengah orang, apalah sangat dengan RM200 itu, tapi bagi mereka yang berpendapatan kecil, RM200 sangat berharga kerana boleh digunakan untuk membeli keperluan makanan lima orang sekeluarga untuk tempoh seminggu.

Kenapa perlu menghabiskan wang begitu besar dalam masa singkat, sedangkan ia boleh digunakan untuk membeli barangan lain?

Misalnya, gunakan duit itu untuk membeli pakaian yang boleh dipakai berkali-kali dan mungkin tahan sampai bertahun-tahun.

Sebagaimana surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Ayat ini juga mengingatkan penulis berkenaan pembaziran makanan di bufet Ramadan.

Apabila membayar dengan harga tinggi, biasanya pelanggan akan mengambil makanan dalam kuantiti banyak, sehingga penuh meja.

Tetapi sejauh mana kita mampu makan dengan banyak selepas seharian berpuasa.

Penyudahnya, makanan tidak habis, terbiar di atas meja.

Sisa makanan terus menjadi hiasan meja sampai langsung tidak disentuh pun.

Sebenarnya, bukan sahaja bufet Ramadan, malah di bazar Ramadan juga kita terdedah dengan pembaziran.

Nafsu nak makan membuak-buak dengan membeli itu dan ini, tetapi selepas berbuka, tak semua makanan habis, akhirnya semua dibakul sampahkan sahaja.

Isu pembaziran makanan ini terbukti apabila Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir melaporkan, jumlah kutipan sisa pepejal ketika Ramadan tahun 2022 mencatatkan sebanyak 252,521 tan berbanding 208,143 tan pada 2019.

Justeru, penulis suka mengingatkan bahawa Ramadan ini bukanlah masa untuk berhabis melayan nafsu makan, tetapi mengajar kita untuk sentiasa bersederhana.

Kembalilah kepada matlamat asal bahawa Ramadan adalah bulan untuk beribadah.

Memikirkan apa amalan yang boleh ditambah sepanjang Ramadan adalah lebih baik daripada memikirkan di mana hendak berbuka puasa petang ini.

* Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Penolong Pengarang Berita (Digital)

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28