Bazar di Pulau Pinang dipantau setiap hari sepanjang Ramadan

KPDN Pulau Pinang buat pemantauan dan penguatkuasaan di 80 buah bazar Ramadan di seluruh negeri ini bermula pada Selasa. Foto fail Bernama (Gambar kecil: Jegan)
KPDN Pulau Pinang buat pemantauan dan penguatkuasaan di 80 buah bazar Ramadan di seluruh negeri ini bermula pada Selasa. Foto fail Bernama (Gambar kecil: Jegan)
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan di 80 buah bazar Ramadan di seluruh negeri ini bermula pada Selasa.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, pemantauan dan penguatkuasaan dalam Ops Pantau 2024 itu akan diadakan setiap hari bagi menjamin bekalan barangan keperluan seisi rumah mencukupi serta menjaga dan menangani isu kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, selain bazar Ramadan, operasi itu juga akan menumpukan lokasi sasaran seperti bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar malam, pasar pagi, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.

"Pelaksanaan penguatkuasaan bersasar dan seragam dalam bulan Ramadan dan Aidilfitri ini untuk memastikan perdagangan domestik terus berkembangan pesat dan pelindungan pengguna.

"Penguatkuasaan secara konsisten KPDN adalah perlu untuk mewujudkan persekitaran perdagangan yang kondusif di samping membantu rakyat menangani kos sara hidup," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jegan menambah, KPDN Pulau Pinang juga akan menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan secara lebih kerap dan bersasar ke atas harga dan bekalan barang yang menjadi tumpuan rakyat pada bulan Ramadan dan Hari Raya Adilfitri.

"Antara barangan itu ialah gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barang untuk membuat kuih-muih.

"Ia bagi memastikan barangan itu mempunyai tanda harga, barang kawalan mengikut gazet kerajaan selain tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah pada lain-lain barang," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Jegan berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan dan pemantauan secara lebih fokus dan efektif ke atas premis perniagaan yang mengadakan jualan murah supaya peniaga mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Para peniaga diingatkan supaya meletakkan tanda harga dengan jelas dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Sekiranya gagal, peniaga atau syarikat akan diambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011.

"Sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui beberapa saluran aduan antaranya Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 038882 6088 / 03-8882 6245, pusat panggilan 1 800 886 800 atau WhatsApp KPDN di nombor 019279 4317," jelas Jegan.

Dalam pada itu, Jegan menambah, KPDN Pulau Pinang akan mengadakan bazar Ramadan Rahmah di Jalan Mahkamah, Bayan Lepas pada 15 dan 27 Mac dan di Ban Busuk, Kumbang Semang pada 22 dan 29 Mac ini.

Kata beliau, selain itu, KPDN Pulau Pinang dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema) akan menganjurkan Projek Malaysia Save Food Ramadan 2024.

Menurutnya, objektif projek itu ialah untuk membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan semasa Ramadan.

"Projek ini merupakan satu inisiatif pengurusan lebihan makanan 'Food Waste Management' di bazar Ramadan yang digerakkan oleh Gema dalam usaha mengelakkan pembaziran makanan dan minuman yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar.

"Makanan dan minuman ini akan disalurkan dan diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang terlibat," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28