Dua sekolah K9 beroperasi di Terengganu

Jelani (dua dari kanan) bersama Shafruddin (kanan) menyaksikan persembahan pelajar di SK Sungai Berua, Hulu Terengganu.
Jelani (dua dari kanan) bersama Shafruddin (kanan) menyaksikan persembahan pelajar di SK Sungai Berua, Hulu Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua buah Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) bagi menempatkan murid dan pelajar Orang Asli telah mula beroperasi selari dengan pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, ia melibatkan dua buah sekolah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu dan SK Sungai Pergam di Kemaman.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah menyediakan sekolah rendah dan menengah rendah atau K9 di sekolah yang sama bagi mengelak keciciran pelajar disebabkan faktor kemiskinan dan jarak tempat tinggal yang jauh untuk ke sekolah.

"Mengikut data yang direkodkan setakat ini terdapat seramai 15 daripada 16 orang murid di SK Sungai Berua yang telah mendaftarkan diri ke Tingkatan Satu (Transisi) di sekolah K9 tersebut.

"Kesemua murid Tingkatan Satu itu akan kekal belajar di sekolah rendah tersebut sehingga Tingkatan Tiga bagi memastikan murid Orang Asli tidak ketinggalan dalam pendidikan.

Jelani (kiri) bersama Shafruddin (tengah) beramah mesra bersama pelajar sekolah K9 di SK Sungai Berua, Hulu Terengganu.
Jelani (kiri) bersama Shafruddin (tengah) beramah mesra bersama pelajar sekolah K9 di SK Sungai Berua, Hulu Terengganu.

"Bagi SK Sungai Pergam pula kita ada seramai lima pelajar daripada tujuh pelajar dimana dua daripadanya telah ke Pusat Intelek Pelajar Orang Asli di Rompin (PIPOA)," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Jelas Jelani, terdapat juga murid sekolah rendah di dua buah sekolah tersebut dimana SK Sungai Berua merekodkan seramai 48 murid sementara SK Sungai Pergam seramai 42 murid.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada seramai empat guru untuk mengajar pelajar aliran menengah dan 11 guru bagi aliran sekolah rendah di SK Sungai Berua.

"Untuk SK Sungai Pergam pula terdapat seramai empat guru bagi pelajar peringkat menengah dan 12 untuk sekolah rendah," katanya.

Menurut Jelani, pembukaan sekolah di Terengganu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin pada Ahad lalu di SK Sungai Berua.

Beliau berkata, pengoperasian sekolah K9 memberi impak positif kepada pelajar kerana ia dapat merapatkan jurang antara pelajar miskin dan kurang berkemampuan.

"Sebelum ini murid-murid Orang Asli di Sungai Berua ini terpaksa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagor yang terletak sejauh 20 kilometer (km) dari perkampungan mereka.

"Kini dengan adanya aliran sekolah menengah di SK Sungai Berua, ia amat membantu murid-murid ini untuk melancarkan urusan ke sekolah," ujarnya.

Secara keseluruhan terdapat 28 buah sekolah K9 di seluruh negara dengan 10 buah daripadanya mula beroperasi pada Ahad lalu.

Jelani (enam dari kiri) bersama Shafruddin (tujuh dari kanan) merakam gambar bersama tenaga pengajar dan kakitangan SK Sungai Berua di Hulu Terengganu.
Jelani (enam dari kiri) bersama Shafruddin (tujuh dari kanan) merakam gambar bersama tenaga pengajar dan kakitangan SK Sungai Berua di Hulu Terengganu.

Selain dua buah sekolah di Terengganu, terdapat dua buah sekolah K9 di Kelantan iaitu di SK Bihai dan SK Permai di Gua Musang, Kelantan dan masing-masing sebuah sekolah di SK Penderas di Temerloh, Pahang dan SK RPS Dala di Hulu Perak.

Terdapat lima buah sekolah K9 di Sabah iaitu di SK Long Pasia, Sipitang; SK Logongon, Pensiangan; SK Fajar Harapan, Lahad Datu; SK Pulau Bum-Bum, Semporna dan SK Magandai di Kota Marudu.