Teliti gubal semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan - Pembangkang

Mohd Syahbuddin
Mohd Syahbuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menyarankan kerajaan negeri ini supaya lebih teliti dan cermat dalam menggubal semula 16 seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, perkara itu perlu supaya enakmen tersebut tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak pada masa yang akan datang.

“DUN Kelantan atau negeri-negeri lain diingatkan untuk lebih terperinci dalam menggubal undang-undang atau enakmen jenayah syariah selain memastikannya sepadan dengan peraturan-peraturan di negeri masing-masing.

“Kita berharap supaya isu seperti pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil juga tidak berlaku pada masa depan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal ke-2 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Kerajaan Kelantan menerusi Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu, Mohd Asri Daud berharap tidak ada lagi pihak membawa naratif yang boleh menimbulkan konflik apabila 16 perkara tersebut digubal semula.

Mohd Syahbuddin bagaimanapun berkata, dalam negara yang berbilang kaum dengan pelbagai aliran pemikiran, tidak boleh dihentikan cubaan pihak-pihak yang tidak berpuas hati daripada terus menyerang kelemahan yang ada.

“Sebab itu, kita berharap mana-mana undang-undang yang hendak digubal perlu dilakukan dengan lebih terperinci.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu kesilapan dan ketidakcekapan kita mengundang pandangan buruk masyarakat luar,” katanya.

Pada Rabu, DUN Kelantan sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula 16 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Sebelum itu, pada 9 Feb lalu, sembilan hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan 8-1 untuk membenarkan petisyen peguam dari Kelantan, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam enakmen tersebut.

Mahkamah memutuskan semasa menggubal enakmen berkenaan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri (Senarai II), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!