Dakwaan ramai individu tukar jantina berasal dari Kelantan disemak - Exco

Mohd Asri
Mohd Asri
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menegaskan dakwaan kononnya ramai individu menukar jantina berasal dari negeri ini tidak boleh disahkan dan perlu disemak secara terperinci melalui laporan rasmi pihak berkuasa agama serta agensi berkaitan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang angka atau statistik rasmi yang mengesahkan dakwaan tersebut, sebaliknya hanya laporan umum tanpa data terperinci.

Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) telah bertemu dengan pihak terlibat dan laporan penuh masih dalam proses semakan sebelum sebarang kenyataan muktamad dikeluarkan kepada umum.

“Kalau benar perkara itu berlaku, ia ialah satu kesalahan dan tidak sepatutnya melibatkan rakyat Kelantan. Tetapi kita tidak boleh keluarkan angka atau buat kesimpulan tanpa laporan sah. Kita tunggu hasil siasatan dan laporan lengkap terlebih dahulu,” katanya pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Mohd Asri menjelaskan bahawa tindakan Jaheaik bukan sekadar memeriksa aspek pemakaian, sebaliknya melibatkan kerjasama dengan pihak kesihatan termasuk pemeriksaan sehingga ke tahap jantina bagi kes tertentu.

Tambah beliau, terdapat individu lelaki yang berhias seperti wanita telah dipanggil oleh pihak berkuasa agama untuk sesi nasihat dan kaunseling.

Tambah beliau, tindakan undang-undang turut diambil terhadap mereka yang berdegil dan enggan mematuhi arahan.

“Mula-mula kita beri nasihat, kemudian ada juga kes yang diambil tindakan kerana ada pihak yang berkeras atas alasan hak individu. Golongan inilah yang memberi masalah.

“Kita tidak mahu rakyat Kelantan apabila dipanggil terus melantik peguam atas alasan hak, sedangkan perkara itu jelas bertentangan dengan syariat dan undang-undang negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius isu tersebut walaupun ia tidak dianggap kritikal, namun disifatkan sebagai isu besar yang perlu diberi penekanan kerana melibatkan akidah, moral dan keharmonian masyarakat.

Ujarnya, sekarang memang ada banyak kes yang dibuka berkaitan isu berkenaan dan disebabkan itu kerajaan negeri mengambil serius serta mahu mengurangkan perkara ini daripada terus merebak.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa dakwaan kononnya 'ramai dari Kelantan' terlibat akan diteliti satu per satu secara berfakta dan berasaskan laporan rasmi tanpa membuat tuduhan melulu.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan ramai individu menukar jantina dari negeri tersebut tanpa bukti rasmi Mohd Asri Mat Daud menyatakan tiada statistik rasmi yang mengesahkan dakwaan itu dan menunggu laporan penuh dari pihak berkuasa agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan bertemu dengan pihak terlibat untuk semakan laporan sebelum membuat kenyataan muktamad Tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang berhias lawan jantina dan enggan mematuhi arahan pihak berkuasa Kerajaan negeri memandang serius isu itu kerana melibatkan akidah, moral dan keharmonian masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!