Petisyen Nik Elin: PN akan kemuka memorandum khas kepada MKI

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan memorandum khas kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) merangkumi cadangan pindaan perlembagaan untuk dipertimbangkan kerajaan bagi memperkasakan undang-undang syariah di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, langkah tersebut diambil untuk membantu memperbaiki kelompongan membabitkan undang-undang bagi umat Islam itu.

“Keputusan yang telah dibuat dalam kes Nik Elin ini (turut) mendedahkan enakmen jenayah syariah negeri-negeri lain kepada risiko pembatalan.

“Kami pihak PN mahu melihat ke hadapan dan menjunjung titah Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI untuk mencari jalan bagi memperbaiki kelompongan serius dalam kuasa dan bidang kuasa berkaitan hak menganut dan mengamal oleh majoriti rakyat (umat Islam) Malaysia.

“Apabila semua ini sudah berlaku, ia menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sepenuhnya untuk dilaksanakan. Kita tengok nanti apabila kita bentang (nanti) rakan-rakan kita di sebelah sana (kita) nak tengok (reaksi) macam mana,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 9 Februari lalu, mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, cadangan pindaan itu perlu dilaksanakan segera bagi mengekang usaha pihak tertentu yang berhasrat untuk mencabar undang-undang negara.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerajaan dalam masa sama turut digesa supaya lebih bertegas dalam hal yang menjadi asas kepada wajah masyarakat di Malaysia.

“Jangan (sesekali) pula tindak tanduk kerajaan dilihat tunduk kepada mana-mana suara yang mengguris hati umat Islam,” katanya.