Perak ada jawatankuasa teliti, perkasa undang-undang syariah

Saarani ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Sultan Perak Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang Ke-15 pada Khamis.
Saarani ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Sultan Perak Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang Ke-15 pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) diberi tanggungjawab untuk meneliti dan memperkasa undang-undang syariah di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak dan Penasihat Undang-undang Negeri Perak serta dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang dan hukum syarak.

Menurutnya, keanggotaan ahli jawatankuasa itu termasuklah mufti, ketua hakim syarie negeri, ahli akademik dan pengamal undang-undang yang telah dilantik bagi menjalankan fungsi menyemak, mendraf atau menambah baik undang-undang syariah di negeri ini.

"Sebarang pindaan terhadap undang-undang syariah termasuklah Enakmen Jenayah Syariah Negeri perlulah mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak terlebih dahulu.

"Selain itu, bagi memastikan peruntukan undang-undang dapat dilaksanakan dengan baik dari aspek substantif dan prosedural, agensi-agensi agama yang berkaitan seperti Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Mahkamah Syariah Negeri, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa mengadakan mesyuarat penyelarasan secara berkala," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang Kelima Belas di sini pada Khamis.

Sementara itu, Saarani menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan berkait Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang menjadi polemik ketika ini sama sekali tidak menjejaskan Enakmen Ordinan Jenayah Syariah di negeri-negeri lain.

Sehubungan itu katanya, Enakmen Ordinan Jenayah Syariah di Perak masih lagi sah dan berperlembagaan kecuali dicabar dan diisytiharkan sebagai tidak sah.

Artikel Berkaitan:

"Saya berasa sangat terkilan apabila ada Ahli Yang Berhormat cuba mengaitkan polemik tersebut dengan mendakwa kononnya ia telah menggugat kedudukan agama Islam di negara kita.

"Kerajaan negeri tidak pernah sedikit pun mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan syiar Islam terus berkembang subur di negeri ini. Malah, sukacita saya memaklumkan dewan yang mulia ini, peruntukan bagi memelihara kepentingan dan kesyumulan Islam terus ditingkatkan saban tahun," katanya.

Saarani dalam pada itu menegur Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) untuk memperbetulkan kenyataan ketika sesi perbahasan kerana mendakwa seolah-olah agama Islam telah tergugat dan tidak lagi dapat diamalkan secara aman di negara ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28