[VIDEO] Petisyen Nik Elin: Enakmen jenayah syariah negeri lain masih sah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan dalam akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah di negeri-negeri lain masih sah dan boleh dikuatkuasakan selagi ia tidak dicabar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 hanya membabitkan negeri berkenaan.

“Dalam hal ini hanya peruntukan di atas (16) kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan sebagai tidak sah dan tidak berpelembagaan.

“Peruntukan-peruntukan dalam akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah di negeri-negeri lain masih lagi sah dan berpelembagaan serta boleh dikuatkuasakan selagi perlembagaan peruntukan-peruntukan tersebut tidak dicabar dan tidak isytiharkan sebagai tidak sah.

“Namun, adakah Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan negeri-negeri untuk meminda undang-undang syariah di negeri? Jadi, apa yang boleh diputuskan berdasarkan Fasal 2 Perkara 74, dan butiran satu senarai dua, senarai Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan Hal Ehwal Agama Islam, di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

“Maka Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja merupakan pihak berkuasa utama yang perlu dirunding dan perlu memberi perkenan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanyakan langkah atau usaha kerajaan bagi menguruskan peruntukan dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, memandangkan undang-undang seumpamanya masih lagi ada di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 9 Februari lalu, mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Sementara itu, menjawab soalan asal Takiyuddin mengenai sejauh mana usaha diambil kerajaan termasuk melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dalam melindungi Undang-undang Enakmen Syariah Negeri-Negeri daripada cabaran pihak-pihak tertentu, Zulkifli berkata, setiap pindaan dan penggubalan mesti selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, fungsi ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) iaitu Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan MKI 2022.

“Objektif penubuhan JPIK ini adalah untuk menambah baik, menyelaras dan menggalakkan penyeragaman undang-undang syariah antara negeri-negeri dan pengharmonian antara undang-undang syariah dengan undang-undang sivil bagi memastikan kedua-dua sistem perundangan dapat dimartabatkan dan saling melengkapi.

“Buat pengetahuan semua, JPIK akan mengadakan mesyuarat pada hari ini (Selasa) Mesyuarat terakhir adalah pada 9 November 2023,” katanya.