Baru enam bulan berkahwin, suami koma selepas diragut

BACHOK - Baru enam bulan mengikat ikatan perkahwinan, pasangan dari Kubang Telaga di sini diuji apabila suami koma selepas menjadi mangsa ragut pada 8 Januari lalu.
Rosirdawatie Aziz, 27, berkata, tragedi menimpa suaminya, Mazrie Ismail, 30, berlaku semasa cinta hatinya itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Cherang Tuli, Pasir Puteh.
"Suami merupakan pemandu dan bertugas di Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Ketika melalui jalan di Kampung Merkang sekitar jam 7 pagi dia dipercayai telah diragut oleh dua lelaki.
"Kejadian itu telah menyebabkan dia yang menunggang motosikal dikatakan telah terjatuh di atas jalan. Topi keledar yang dipakai pecah sehingga menyebabkan dia mengalami pendarahan di dalam kepala.
"Suami ditemukan oleh bapa saudara yang kebetulan melalui jalan yang sama sekitar jam 7.15 pagi dan mendapati tiada luka atau pendarahan berlaku pada anggota badannya, namun dia tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya, mengikut laporan doktor suami mengalami pendarahan di dalam kepala dan sehingga kini dia masih koma.
Ujar suri rumah itu, ada saksi yang melihat kejadian suami diragut namun oleh kerana jarak yang terlalu jauh kedua-dua suspek tidak dapat dikenal pasti.
Rosirdawatie memberitahu, saksi melihat dua lelaki terbabit menarik beg sehingga suami terjatuh.
"Suami dibawa ke Hospital Tengku Anis sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai kemudian dibenarkan pulang ke rumah.
"Sehingga sekarang sudah memasuki 51 hari, suami masih tidak sedarkan diri. Sekarang ini dia sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas terkena jangkitan kuman pada paru-paru Ahad lalu," katanya.
Menurutnya, mereka suami isteri tinggal bersama keluarga suami di Kubang Telaga dimana Mazrie merupakan anak kedua daripada empat beradik.
Ujarnya, sehingga hari ini dia hanya mampu menatap wajah suaminya itu dan setiap hari berdoa agar Mazrie akan sedarkan diri suatu hari nanti.
"Hanya ALLAH tahu perasaan saya ketika ini. Banyak benda yang hendak dibualkan dengan suami, tahun ini juga merupakan kali pertama kami berpuasa dan menyambut Aidilfitri bersama," katanya.
Rosirdawatie memberitahu, semenjak suami koma mereka telah kehilangan sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada ahli keluarga yang banyak membantu.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pasangan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 151258771167.
Ringkasan AI
- Pasangan baru enam bulan perkahwinan diuji apabila suami koma setelah diragut
- Suami, pemandu Projek Laluan Rel Pantai Timur, diragut dan terjatuh semasa dalam perjalanan ke tempat kerja
- Mengalami pendarahan di dalam kepala akibat kejadian itu dan masih koma
- Saksi melihat kejadian namun suspek tidak dapat dikenal pasti
- Keluarga bergantung pada bantuan ahli keluarga dan orang ramai diminta sumbang melalui akaun Maybank
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

