Tidak sesuai berhujah Kanun Jenayah Syariah Kelantan gagal - Mufti

Mohamad Shukri
Mohamad Shukri
A
A
A

KOTA BHARU - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berpendapat tidak sesuai untuk berhujah bahawa Kanun Jenayah Syariah gagal membendung kes jenayah berkenaan di negeri ini.

Beliau memberitahu, Kanun Jenayah Syariah tetap penting mengekang perlakuan jenayah berkaitan.

"Peranan undang-undang untuk membendung perlakuan jenayah... Ada undang-undang pun masih banyak kes... kalau tidak ada (undang-undang), lagi banyak.

"Kita tidak boleh 'argue' undang-undang tidak berjaya kerana kita perlukan undang-undang itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Kelantan merupakan antara negeri yang merekodkan kes jenayah seksual kanak-kanak yang tinggi, walaupun negeri itu mempunyai Kanun Jenayah Syariah.

Saifuddin mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mencadangkan negara perlu mengamalkan undang-undang syariah untuk mencegah kes jenayah seksual kanak-kanak.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri turut memberi contoh, undang-undang berkaitan dadah walaupun sudah dikuatkuasakan, namun jenayah itu belum ada jalan penyelesaian.

"Menteri berkenaan tidak perlu mengkritik undang-undang yang ditetapkan sebaliknya mendidik masyarakat menghormati undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut terlibat secara langsung dalam proses menentukan enakmen atau kanun jenayah di negeri ini.

Katanya, undang-undang atau enakmen yang digubal perlu melalui MAIK sebelum mendapat pandangan Jemaah Ulama.

"Selepas semakan dan puas hati, kita angkat semula kepada MAIK untuk tindakan seterusnya," katanya.

Mohamad Shukri sebelum itu hadir mengiringi Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz merasmikan Maahad Tahfiz Al-Quran (Perempuan) MAIK di Pendek.

p>Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28