'Pelantikan anak, saudara dalam kerajaan dan GLC tidak semestinya rasuah' - Peguam

Nik Saiful Adli Burhan
Nik Saiful Adli Burhan
A
A
A

KOTA BHARU - Isu pelantikan anak atau saudara dalam jawatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sering menimbulkan persepsi negatif, namun ia tidak semestinya salah di sisi undang-undang, kata Peguambela dan Peguamcara, Nik Saiful Adli Burhan.

Beliau menjelaskan, pelantikan anak-anak ahli politik hanya menjadi kesalahan jika wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau konflik kepentingan.

"Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan bahawa pegawai awam yang menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan, termasuk bagi saudara atau sekutu, melakukan kesalahan.

“Sekiranya pelantikan dibuat melalui proses temuduga terbuka, calon memenuhi kelayakan, pegawai berkaitan membuat pengisytiharan konflik kepentingan dan tidak terlibat dalam keputusan, tidak timbul isu rasuah atau nepotisme jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, undang-undang tidak menghukum hubungan kekeluargaan, sebaliknya menumpukan kepada penyalahgunaan kuasa dan imbuhan tidak sah.

Katanya, pelantikan yang diberikan sebagai balasan kepada suapan, memintas prosedur atau menekan panel pelantikan, barulah dianggap melanggar undang-undang.

Nik Saiful Adli memberitahu, garis pemisah antara pelantikan sah dan perbuatan rasuah terletak pada niat, proses dan kewujudan manfaat tidak sah.

Ujarnya, pegawai awam perlu berhati-hati bagi memastikan integriti sistem pelantikan terpelihara tanpa menzalimi hubungan kekeluargaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang Exco kerajaan Terengganu yang ditahan SPRM kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan akan didakwa di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60-an itu dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada jam 9 pagi.

Ringkasan AI

  • Isu pelantikan anak atau saudara dalam jawatan kerajaan dan GLC tidak semestinya salah undang-undang menurut Peguam Nik Saiful Adli Burhan
  • Pelantikan hanya menjadi kesalahan jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau konflik kepentingan
  • Seksyen 23 Akta SPRM 2009 menentang penggunaan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi saudara atau sekutu
  • Pelantikan melalui proses yang adil dan tiada konflik kepentingan tidak dianggap sebagai nepotisme jenayah
  • Pegawai awam perlu memastikan integriti sistem pelantikan terpelihara dan tidak menyalahgunakan kuasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!