Lelaki Indonesia dipenjara, gagal bayar denda bela murai batu

Sadiyo (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Khamis atas kesalahan memiliki lima ekor murai batu tanpa kebenaran.
Sadiyo (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Khamis atas kesalahan memiliki lima ekor murai batu tanpa kebenaran.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Indonesia terpaksa meringkuk di penjara selama setahun selepas gagal membayar denda RM50,000 atas kesalahan memiliki lima ekor murai batu iaitu spesies yang dilindungi di negara ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh Sadiyo, 27, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Berdasarkan fakta kes, lima pegawai penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama tujuh pegawai polis cawangan risik Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah menjalankan pemeriksaan di premis kediaman pekerja di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, pada Khamis minggu lalu.

Hasil pemeriksaan sekitar jam 9.15 malam itu, pihak Perhilitan telah menemui lima ekor burung murai batu atau nama saintifiknya, copsychus malabaricus di unit kediaman Sadiyo.

Hasil soal siasat, Sadiyo gagal mengemukakan dokumen atau surat kebenaran yang sah daripada Jabatan Perhilitan bagi tujuan menyimpan lima ekor burung tersebut.

Sementara itu, hasil pengecaman yang dibuat oleh pakar Jabatan Perhilitan mendapati, kesemua barang kes merupakan burung murai batu yang merupakan hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Kelapan, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di dalam Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar Pindaan Jadual 2012.

Kesemua barang kes telah dibawa ke Balai Polis Seri Alam untuk tindakan selanjutnya.

Anggaran harga burung Murai Batu di pasaran gelap boleh mencecah hingga RM10,000 hingga RM20,000 bergantung kepada panjang ekor dan suara burung.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!