Warga Indonesia didakwa cederakan remaja perempuan

Seorang pekerja penyelenggara elektrik di sebuah pusat jagaan kanak-kanak didakwa di dua Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan tinggal lebih masa di negara ini. - Gambar hiasan
Seorang pekerja penyelenggara elektrik di sebuah pusat jagaan kanak-kanak didakwa di dua Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan tinggal lebih masa di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja penyelenggara elektrik di sebuah pusat jagaan kanak-kanak didakwa di dua Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan tinggal lebih masa di negara ini.

Zainal Abidin, 27, seorang warga Indonesia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top dan Normaizan Rahim.

Di hadapan Amalina Basirah lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Jalan Sri Kemuning, Lembah Jaya Selatan di sini pada 4 petang, 22 Oktober lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani yang mengendalikan kes itu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Sementara itu, di hadapan Normaizan, Zainal didakwa tinggal lebih masa selama tempoh lima bulan 26 hari di negara ini, di tempat sama pada 5.05 petang, 26 Oktober lepas, mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin yang mewakili pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua Timbalan Pendakwa Raya memohon jika mahkamah menggunakan budi bicara memberikan jaminan, pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Peguam Wan Nur Afifah Che Bakar, mewakili Zainal memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga serta mempunyai seorang isteri dan dua anak masing-masing berumur sembilan bulan serta lima tahun.

"Anak guam saya bekerja sebagai penyelenggara di pusat jagaan itu dengan pendapatan RM1,600 sebulan. Dia juga mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja. Oleh itu, mohon jaminan paling minimum dan munasabah terhadap anak guam saya,” kata peguam itu.

Amalina Basirah dan Normaizan masing-masing membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan selain tertuduh dilarang mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah itu menetapkan 9 Jan 2024 untuk sebutan bagi kedua-dua kes. - Bernama