MCW cadang selenggara sistem kawalan dalaman bendung rasuah dalam LPPSA

MCW cadangkan beberapa langkah proaktif kepada LPPSA bagi membendung jenayah rasuah dalam urusan pinjaman. (Foto hiasan) Gambar kecil: Jais
MCW cadangkan beberapa langkah proaktif kepada LPPSA bagi membendung jenayah rasuah dalam urusan pinjaman. (Foto hiasan) Gambar kecil: Jais
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan beberapa langkah proaktif kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) seperti menyelenggara sistem kawalan dalaman yang cekap bagi membendung jenayah rasuah dalam urusan pinjaman.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memantau dan melaporkan sebarang tanda-tanda rasuah atau kelakuan tidak bermoral dalam institusi tersebut.

"Selain itu, pastikan institusi menetapkan standard tinggi dalam hal integriti dan mempunyai mekanisme yang kukuh untuk memerangi rasuah.

"Kakitangan juga wajar diberi latihan tentang pentingnya integriti, prinsip tatakelola yang baik dan risiko serta kesan apabila terlibat dengan jenayah rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM46,000 berhubung permohonan pinjaman pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi 10 individu, tiga tahun lalu.

Laskar Kanan, Khairul Anuar Mat Sidek, 32, yang bekerja di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Sel Pinjaman Perumahan Markas Angkatan Tentera Malaysia Kuala Lumpur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut semua pertuduhan, individu terbabit didakwa menerima RM46,000 secara serahan tangan daripada seorang wanita iaitu pemilik sebuah syarikat bagi urusan permohonan pinjaman LPPSA membabitkan 10 individu.

Tambah Jais, saluran pelaporan yang selamat perlu diwujudkan bertujuan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang melaporkan sebarang kesalahan atau penyalahgunaan dalam sesuatu organisasi atau jabatan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, tindakan undang-undang tegas dan keras harus dikenakan sekiranya didapati bersalah kerana jenayah tersebut boleh merosakkan kepercayaan terhadap institusi yang bertanggungjawab memberikan pinjaman perumahan kepada kakitangan awam.

"Perbuatan tersebut mencabuli prinsip keadilan dan integriti, setiap individu yang terlibat jenayah perlu dikenakan tindakan demi memastikan keadilan serta sebagai langkah mencegahnya daripada tersebar," katanya.

Jelas Jais, kombinasi usaha pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang merupakan langkah-langkah yang penting untuk memastikan bahawa amalan rasuah tidak dapat berkembang dalam mana-mana jabatan atau institusi.