MBSA mahu warga Shah Alam amalkan gaya hidup sihat

Karnival Jom Sihat mampu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan kesihatan persekitaran.

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM - Karnival Jom Sihat anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilihat mampu menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif, berkata, Karnival Jom Sihat mampu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan kesihatan persekitaran.

“MBSA mahu perkenalkan warga Shah Alam kepada isu-isu penting yang berkaitan dengan kesihatan bagi menyokong persekitaran yang lebih sihat dan lestari.

“Pada masa yang sama, MBSA memberikan pengiktirafan kepada agensi dan individu yang aktif di dalam bidang kesihatan awam di bawah pentadbiran MBSA. Antara penyampaian hadiah yang telah diberikan adalah program Suara Shah Alam: Popular vs Bersih dan Tiktok 3C,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

No Image Caption

Menurutnya, MBSA turut memberikan pengiktirafan kepada agen SEDA-10 (Search & Destroy Aedes 10 Minutes).

Artikel Berkaitan:

“Agen ini terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis MBSA seramai 24 orang yang bergerak secara proaktif di dalam menggerakkan komuniti di bawah kawasan pentadbiran MBSA untuk membanteras Aedes.

“Pengiktirafan ini merupakan usaha MBSA untuk menggalakkan agensi serta individu di dalam kawasan pentadbiran MBSA untuk bersama berganding bahu mempromosikan amalan kesihatan persekitaran kepada masyarakat,”katanya.

No Image Caption

MBSA telah mengadakan Karnival Jom Sihat Sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, di sini, semalam.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ahli Majlis MBSA, Muhammad Shakir Ameer Mohideen. Turut hadir, Ahli Majlis MBSA, Megat Azman Megat Mokhtar, Presiden Persatuan Kesihatan Environment Malaysia (MAEH), Dr. Faezah Kassim.

Karnival Jom Sihat ini diadakan sempena Hari Kesihatan Dunia yang disambut pada 26 September setiap tahun untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan kesihatan persekitaran.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan untuk menarik penyertaan orang ramai antaranya adalah seperti Forum Kesihatan Awam yang bertajuk ‘Kesihatan Persekitaran Tanggungjawab Semua’, Pertandingan Kucing Tercantik, Pertandingan Hidangan Sihat, Pertandingan Hiasan Makanan, Pertandingan ‘Dengue Explore Race’ dan sesi ‘Pocket Talk’ bertajuk Lalat Tentera Hitam (Black Soldier Fly) dan Persekitaran Toksik Membawa Penyakit.