MTL: KPKT sedia peruntukan RM20 juta selenggara sistem perparitan

Kor Ming meninjau projek bantuan baik pulih rumah di Kampung Baru Rimba Panjang sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.
Kor Ming meninjau projek bantuan baik pulih rumah di Kampung Baru Rimba Panjang sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan peruntukan khas RM20 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat menjelang monsun timur laut (MTL) melanda negara bermula November ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu disalurkan kepada semua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya melibatkan pembersihan parit dan longkang serta kolam takungan bagi melancarkan sistem aliran air.

"Sejak bulan lepas, saya telah menggesa semua PBT ini segera menyelenggara longkang-longkang utama bagi mengelak kejadian banjir kilat di bandar-bandar.

"Kerja-kerja penyelenggaraan ini sedang berjalan dan saya masih menunggu laporan perkembangannya," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Sungai Siput pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr Sakduddin Zamli.

Kor Ming (tengah) menyempurnakan acara menanam pokok ketika lawatan kerjanya ke gelanggang badminton di Kampung Baru Sungai Buloh sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.
Kor Ming (tengah) menyempurnakan acara menanam pokok ketika lawatan kerjanya ke gelanggang badminton di Kampung Baru Sungai Buloh sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.

Kor Ming turut meminta semua pegawai terlibat termasuk ketua setiausaha kementerian dan Yang Dipertua turun padang setiap minggu bagi memantau kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan skop kerja yang diberikan kepada pemaju projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dah minta semua arahan dikeluarkan untuk memantau kerja-kerja kontraktor ini supaya mereka betul-betul menjalankan kerja, mengikut kontrak masing-masing," katanya.

Pada lawatan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM1.65 juta untuk projek menyelenggara tujuh kolam tadahan di Sungai Siput antaranya di Taman Muhibbah Jaya, Kampung Muhibbah Rimba Panjang, Taman Lintang Makmur dan Kampung Salak Baru.

Sempena program itu, Kor Ming turut mengadakan lawatan kerja ke projek bantuan baik pulih rumah di Kampung Baru Rimba Panjang, projek bina rumah kampung baru di Kampung Baru Simpang Jalong, projek naik taraf gelanggang badminton di Kampung Baru Sungai Buloh dan Pasar Awam Sungai Buloh.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan, hujan lebat bakal melanda negara bermula November ini hingga Februari 2024 yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko disebabkan MTL yang bermula pada pertengahan bulan depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!