Langkah proaktif tangani isu kurang guru

Pengambilan tambahan guru-guru baharu dalam dunia pendidikan dilihat sebagai solusi tepat bagi menangani masalah kekurangan cikgu ketika ini.
Pengambilan tambahan guru-guru baharu dalam dunia pendidikan dilihat sebagai solusi tepat bagi menangani masalah kekurangan cikgu ketika ini.
A
A
A

PENGUMUMAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bakal mengambil seramai 9,500 guru baharu pada November 2023 memberi kelegaan kepada seluruh warga pendidik di negara ini.

Pengambilan tambahan guru-guru baharu dalam dunia pendidikan dilihat sebagai solusi tepat bagi menangani masalah kekurangan cikgu ketika ini.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, proses temu duga guru-guru berkenaan sudah selesai dijalankan dan penempatan segera akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata, masalah kekurangan guru berlaku disebabkan adanya persaraan atau guru berhenti kerja.

Proses mendapatkan guru baharu dilaksanakan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan KPM akan memastikan proses pengambilan pendidik berjalan secara berterusan bagi memastikan isu kekurangan guru kekal bersifat sementara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying pula menjelaskan, kekurangan guru berlaku kerana beberapa faktor, antaranya persaraan wajib dan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Malah katanya, subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam adalah antara mata pelajaran yang berdepan dengan ketiadaan guru di sesebuah sekolah.

Pada pendapat penulis, usaha dilakukan oleh KPM sangat wajar dan harus diteruskan jika mendapati ‘kurangnya’ guru di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Sejak dahulu sehinggalah sekarang, boleh dikatakan masalah kekurangan guru sering sahaja menjadi topik utama dalam kalangan masyarakat.

Sebenarnya penulis rasa kasihan dengan guru-guru sedia ada. Banyak tugas dan tanggungjawab perlu digalas disebabkan masalah kekurangan guru di sekolah masing-masing.

Dunia penulis yang dekat dengan golongan pendidik menyebabkan penulis sering mendengar keluh-kesah mereka.

Ada mengadu penat dengan kerja hakiki sebagai cikgu kerana tugasan yang menimbun sepatutnya dipikul oleh beberapa orang guru.

Tak kurang juga yang ‘bekerja’ sehingga lewat malam dan cuti hujung minggu pula diganggu kerana perlu menyiapkan segala tugasan diberikan.

Sungguh besar pengorbanan pendidik. Semoga mereka sabar dan tabah menghadapinya.

Berbalik kepada isu pengambilan guru, penulis mengambil kesempatan ini untuk ucapkan tahniah dan terima kasih kepada KPM.

Sekurang-kurangnya jumlah tersebut dapat membantu negeri yang kekurangan guru termasuklah Sarawak yang kini dikatakan memerlukan lebih 3,000 pendidik bagi menampung jumlah guru bersara dan yang dipindahkan ke negeri lain.

Seperti kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa'ee baru-baru ini, usaha menangani masalah kekurangan guru di Sarawak telah dilakukan ke arah yang betul dengan pengambilan guru tambahan secara nasional pada November ini.

Menurutnya, Sarawak perlu diberikan keutamaan dalam penempatan guru dan sekiranya mereka diberi setengah daripada jumlah tersebut, maka selesailah masalah kekurangan guru di negeri berkenaan.

Namun, walaupun KPM sudah memberi jawapan dan penyelesaian terhadap masalah tersebut, penulis tetap rasa bimbang kerana jika melihat kepada jumlah yang diumumkan, rasanya masih tidak mencukupi untuk menampung kekurangan guru.

Masalah tersebut bukan sahaja berlaku di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman, malah berlaku juga di sekolah-sekolah dalam bandar.

Mungkin pengambilan guru baharu perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi mengisi kekosongan di semua sekolah. Sentiasa cakna dan mengambil langkah yang proaktif.

Lagipun, negara tidaklah kekeringan graduan pendidikan, sebaliknya puluhan dan mungkin ratusan atau ribuan daripada mereka masih mencari-cari peluang untuk menjadi guru, cuma belum ada rezeki.

Semoga pengambilan 9,500 guru baharu kali ini tidak terhenti di sini sahaja. Teruslah ‘menyerap’ cikgu-cikgu ke dalam dunia pendidikan demi melahirkan generasi ber-wawasan dan berkualiti.

*Roshlawaty Raieh ialah wartawan Sinar Bestari