Polis Melaka tumpas sindiket edar dadah RM4.02 juta ke Indonesia

Mohd Kamarudin (tiga dari kiri) dan Zainol (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan dilakukan JSJN ketika sidang akhbar pada Jumaat.
Mohd Kamarudin (tiga dari kiri) dan Zainol (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan dilakukan JSJN ketika sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Polis berjaya menggagalkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang terbesar di Melaka pada awal tahun ini membabitkan rampasan dadah bernilai RM4.02juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada Rabu lalu berjaya menahan lima lelaki tempatan dan seorang penduduk tetap yang berusia 40 hingga 74 tahun.

Menurutnya, berdasarkan maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 48 tahun ketika sedang memunggah dadah dari sebuah kereta Toyota Vios ke dalam sebuah kereta Toyota Camry di kawasan Kota Syahbandar, Melaka.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui syabu seberat 52 kilogram (kg) dan pil ekstasi seberat 31.45 kg yang dianggarkan bernilai RM4.02juta.

Sebahagian pil ekstasi yang dirampas dalam serbuan itu. Gambar kanan: Dadah dipercayai dibungkus dalam plastik berwarna kuning.
Sebahagian pil ekstasi yang dirampas dalam serbuan itu. Gambar kanan: Dadah dipercayai dibungkus dalam plastik berwarna kuning.

"Susulan penahanan itu kita melakukan serbuan kedua dan berjaya menangkap tiga lelaki berusia 39 hingga 57 tahun di Simpang Renggam, Johor.

"Serbuan ketiga yang dilakukan di Genting Highlands, Pahang pula telah menahan dua lelaki tempatan berusia 68 dan 74 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar kejayaan tangkapan dan rampasan dadah bernilai RM4.02juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama,Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Datuk Zainuddin Ahmad dan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati modus operandi sindiket terbabit menggunakan jalan darat bagi menyeludup dadah masuk dari negara jiran sebelum bekalan dadah diedarkan ke Indonesia melalui jalan laut.

Tambahnya, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan tidak menolak kemungkinan mereka menjadikan Pantai Klebang sebagai transit serta jalan keluar dadah ke Dumai, Indonesia.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dan wang tunai berjumlah RM3,000 selain mendapati kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 365,000 orang penagih.

"Hasil ujian saringan awal mendapati dua daripada mereka positif dadah dan tiga daripadanya turut mempunyai rekod lampau.

"Kesemua mereka kini ditahan reman selama lima hari bermula Rabu hingga Isnin ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.