Polis Kuala Lumpur lupus dadah bernilai RM8.89 juta

Allaudeen (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah JSJN Polis Kuala Lumpur 2023 di IPK Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Allaudeen (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah JSJN Polis Kuala Lumpur 2023 di IPK Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kuala Lumpur melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM8.89 juta melibatkan kes-kes yang selesai bicara dan dijatuhkan hukuman dari 2001 hingga 2021.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed berkata, keseluruhan dadah yang dilupuskan seberat 325.3 kilogram (kg) dan 907.6 liter melibatkan 2,894 kertas siasatan.

"Antara dadah dilupuskan ialah methamphetamine 36.1kg; heroin (34.1kg); kanabis (72.2kg); ketamin (1.5kg).

"Selain itu, turut dilupuskan adalah ketum (871.6kg) dan pelbagai jenis bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah melibatkan pepejal seberat 179.7kg dan cecair 36.7 liter," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Rabu.

Katanya, kesemua dadah itu dilupuskan di Pusat Rawatan Sisa Kualiti Alam Sdn Bhd, Ladang Tanah Merah A3 Division, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

"Bagi mematuhi kehendak piawaian alam sekitar, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur telah menggunakan khidmat dan kepakaran anak syarikat Kumpulan Cenviro Kualiti Alam Sdn Bhd.

"Ini berdasarkan pengalaman mereka di dalam industri pengurusan sisa yang mempunyai peralatan dan kepakaran dalam melupus barangan berjadual seperti dikehendaki menggunakan fasiliti terbaru iaitu insinerator yang menghasilkan tenaga baru, teratur dan tiada pencemaran," katanya.

Artikel Berkaitan: