Mekanik bebas tuduhan edar dadah

Raja (dua dari kanan) bersalaman dengan dua peguamnya selepas Mahkamah Tinggi Ipoh melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.
Raja (dua dari kanan) bersalaman dengan dua peguamnya selepas Mahkamah Tinggi Ipoh melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang mekanik terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan memiliki racun nitrazepam, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu terhadap S Raja, 45, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Lelaki itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Bhupindar Singh dalam penghakiman berkata, pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan pemilikan beg hitam yang dijumpai di lokasi serbuan.

Menurut beliau, beg hitam itu kemungkinan milik seorang lelaki dikenali Kishore Kumar yang telah datang ke rumah tertuduh pada 21 November 2020 dan keluar sehari kemudian antara jam 3.30 hingga 4.30 petang.

"Kishore Kumar telah ditangkap pada 22 November 2020 pada jam 5.45 petang di tepi Jalan Panglima Bukit Gantang namun tiada dadah yang dijumpai sebelum serbuan dijalankan di rumahnya yang turut tidak menemukan dadah.

"Berdasarkan keterangan pendakwaan, Kishore Kumar mempunyai akses ke bilik yang mana beg hitam itu dijumpai. Kishore Kumar tidak dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaan yang menyebabkan terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan," katanya.

Bhupindar Singh berkata, pihak pendakwaan juga telah mengemukakan dua keterangan berbeza apabila keterangan saksi pendakwaan ke-6 (SP-6) iaitu pegawai tangkapan bercanggah dengan keterangan pegawai tangkapan SP-7.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, bapa kepada dua anak didakwa mengedar dadah berbahaya methamphetamine seberat 76.68 gram di sebuah bilik di Persiaran Sungai Pari Timur 14, Taman Mas Falim di Ipoh pada jam 8 malam, 22 November 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Lelaki itu juga didakwa memiliki racun nitrazepam seberat 4.14 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Hafiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam J Matthews dan Muhammad Farhan Fadzil.

Seramai lapan saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan perbicaraan dimulakan tahun lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!