Bekas mekanik, pasangan terlepas hukuman gantung

Istana Kehakiman.
Istana Kehakiman.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bekas mekanik dan seorang bekas jurusolek yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dadah, terlepas daripada hukuman gantung pada Rabu setelah Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati yang dikenakan ke atas mereka kepada penjara 30 tahun.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang mengetuai panel tiga hakim, meringankan hukuman itu selepas menolak rayuan Lim Teck Hock dan Lee Sheue Ning terhadap sabitan kesalahan mereka.

Beliau berkata, dadah itu ditemui di dalam bilik tidur yang diduduki oleh kedua-dua perayu dan dakwaan mereka bahawa dadah itu milik dua orang lain adalah tidak munasabah.

Hakim Hadhariah bagaimanapun berkata, mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) untuk meringankan hukuman mati pasangan itu kepada penjara seumur hidup iaitu 30 tahun bagi setiap pertuduhan, yang bermula dari 1 November 2018, tarikh mereka ditangkap.

Hukuman penjara mereka berjalan serentak yang bermakna Teck Hock dan Sheue Ning perlu menjalani hukuman penjara 30 tahun. Lim tidak dikenakan sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Teck Hock, 63 dan Lee, 31, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 27 September tahun lepas kerana kesalahan mengedar 77.9 gram heroin dan monoacetylmorphines dan 1517.3 gram methamphetamine di sebuah pangsapuri di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 3.20 pagi pada 1 November 2018.

Peguam P Latsmanan dan Hussaini Abdul Rashid yang mewakili Teck Hock dan Sheue Ning masing-masing berhujah bahawa dadah itu milik dua lagi individu yang turut ditahan polis kerana kesalahan dadah.

Latsmanan berkata, kedua-dua individu berkenaan tinggal di pangsapuri yang disewa itu beberapa hari sebelum perayu berpindah. Beliau berkata perayu itu bukan suami isteri tetapi tinggal bersama.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz berhujah bahawa dadah itu milik perayu kerana dijumpai di bilik tidur utama yang diduduki pasangan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!