Sabasun boikot sepenuhnya produk berkaitan Israel bermula Mac

Che Salmi (kanan) bersama Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah (tengah) pada Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam di Dungun pada Ahad lalu.
Che Salmi (kanan) bersama Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah (tengah) pada Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam di Dungun pada Ahad lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sabasun HYPErRUNCIT Sdn Bhd akan memboikot sepenuhnya dan tidak lagi menjual sebarang produk berkaitan atau barangan yang memberikan keuntungan kepada negara haram Israel bermula Mac ini.

Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, ia termasuk produk daripada jenama terbesar, Nestle yang sebelum ini terdapat di premis berkenaan.

Ujarnya, Sabasun telah memulakan kempen boikot barangan Israel sejak 2002 secara berperingkat bermula dengan menghentikan penjualan minuman jenama Coca-Cola dan Pepsi sebelum memboikot barangan lain.

"Bermula 1 Mac ini akan boikot 100 peratus termasuk barangan Nestle yang sebenarnya berpangkalan di Switzerland dan melabur dengan begitu banyak kepada Israel.

"Kita pernah menghantar surat kepada ibu pejabat Nestle di Switzerland bermula tahun 2006 hingga 2009 agar menarik kembali pelaburan mereka dan tidak lagi terlibat secara langsung dengan negara haram terbabit, tetapi pada tahun 2016 mereka menambah saham mereka menjadi 100 peratus," ujarnya memetik laporan portal rasmi kerajaan negeri pada Selasa.

Che Salmi (kiri) memberi penerangan mengenai pembukaan cawangan Sabasun baharu di Tapak Pasar Malam Dungun.
Che Salmi (kiri) memberi penerangan mengenai pembukaan cawangan Sabasun baharu di Tapak Pasar Malam Dungun.

Che Salmi menegaskan, pihaknya tidak lagi memenuhi permintaan pelanggan yang masih bergantung kepada beberapa produk daripada jenama terkemuka itu.

"Kita tidak pernah melihat pada peradaban moden ini sebarang bentuk kezaliman yang begitu kejam sebagaimana dilakukan Israel terhadap lebih 30,000 nyawa orang awam termasuk 12,000 kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tanpa segan silu melakukan kedurjanaan ini, tidak pernah kenal undang-undang antarabangsa, hak kemanusiaan dan undang-undang perang walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan lebih 200 amaran namun tidak diendahkan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya berharap agar rakyat terus menderma melalui tabung Palestin yang terdapat di premis berkenaan kerana mereka tidak berhenti menyalurkan sumbangan kepada Palestin yang ditindas.

Ujarnya, rakyat negeri ini diseru untuk terus mendoakan keharmonian saudara Islam di Palestin di samping meneruskan usaha memboikot sepenuhnya segala barangan berkaitan Israel.

Wan Sukairi (kanan) melihat pelan pembinaan cawangan baharu Sabasun di Dungun.
Wan Sukairi (kanan) melihat pelan pembinaan cawangan baharu Sabasun di Dungun.

"Teruskan bercakap mengenai isu yang berlaku di Gaza ini agar tidak mati sebegitu sahaja, jangan ulangi sebagaimana yang pernah berlaku suatu waktu dahulu hampir tidak ada yang mengambil peduli mengenai apa yang terjadi di Palestin.

"Dengan berlakunya taufan Al-Aqsa ia kembali membangkitkan masyarakat dunia, teruskan berdialog, berpidato agar Palestin akan sentiasa ada dalam hati kita, insya-ALLAH," ujarnya.

Sebelum ini, Salmi dilaporkan berkata, syarikat berkenaan menyasarkan unjuran pertambahan jualan sehingga RM40 juta pada tahun ini berikutan pembukaan dua lagi cawangan Sabasun di Binjai, Kemaman dan Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Jelas beliau, syarikat yang ditubuhkan pada 2 April 1995 itu mampu bertahan sehingga ke hari ini hasil sokongan padu daripada penduduk di negeri ini sekali gus memberi impak yang besar kepada syarikat milik Bumiputera itu.

Che Salmi (kanan) bersama Wan Sukairi (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam di Dungun pada Ahad lalu.
Che Salmi (kanan) bersama Wan Sukairi (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam di Dungun pada Ahad lalu.

Untuk rekod, syarikat berkenaan mempunyai seramai 450 pekerja kesemuanya terdiri dalam kalangan warga tempatan selain menjual 350 barangan syarikat Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) dan membekalkan 3,500 jenis barangan yang menjana pendapatan RM3 juta sebulan untuk barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Setakat ini, syarikat berkenaan mempunyai enam cawangan iaitu di Bukit Kecil, Kuala Terengganu; Wakaf Tembesu di Kuala Nerus; Kijal, Ajil dan Cheneh di Kemaman serta sebuah cawangan di luar Terengganu iaitu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.