Lapar dan tidak berumah

Seorang wanita dan anak kecilnya yang cedera duduk di kawasan lapang di daerah Zenda Jan, Herat yang terjejas teruk akibat gempa bumi baru-baru ini. - EPA
Seorang wanita dan anak kecilnya yang cedera duduk di kawasan lapang di daerah Zenda Jan, Herat yang terjejas teruk akibat gempa bumi baru-baru ini. - EPA
A
A
A

KABUL - Program Makanan Sedunia (WFP) merayu sumbangan segera AS$19 juta (RM90 juta) bagi menyediakan bantuan kecemasan kepada lebih 100,000 mangsa gempa bumi Afghanistan.

Timbalan Pengarah WFP Afganistan, Ana Maria Salhuana dalam satu kenyataan dikeluarkan agensi berpangkalan di Rom, Itali itu berkata, makanan adalah keperluan mendesak ketika ini.

WFP menyifatkan gempa bumi yang menggegarkan wilayah Afghanistan sejak kebelakangan ini sebagai 'bencana demi bencana' dan bakal diburukkan lagi dengan kedatangan musim sejuk.

Afghanistan sering dilanda gempa bumi bagaimanapun kejadian yang berlaku pada 7 Oktober lalu disifatkan sebagai paling teruk melanda negara miskin itu dalam tempoh lebih 25 tahun.

Gempa berukuran 6.3 pada skala Richter itu diikuti lapan gegaran susulan yang kuat, menggegarkan kawasan sukar dijangkau 30 kilometer ke barat laut ibu kota wilayah Herat, meruntuhkan rumah dan menyebabkan penduduk panik.

Difahamkan, gegaran susulan masih dirasai sehingga ke hari ini.

“WFP sedang membantu mangsa yang terselamat, namun bantuan makanan semakin kritikal dan kami memerlukan pembiayaan tambahan segera.

“Bencana seperti ini menyebabkan penduduk kelaparan dan hidup melarat kerana kediaman mereka telah musnah,” kata Ana Maria.

Artikel Berkaitan:

Awal tahun ini, WFP terpaksa mengurangkan jumlah makanan yang diedarkan kepada setiap keluarga melibatkan 10 juta orang di Afghanistan kerana kekurangan dana.

Menurut Ana Maria, buat masa ini WFP hanya boleh menyokong satu daripada lima orang yang memerlukan bantuan makanan untuk terus hidup.

Gempa bumi yang melanda Afghanistan baru-baru ini telah meragut sekurang-kurangnya 1,400 nyawa dan lebih 1,800 cedera, kebanyakan mangsa adalah wanita serta kanak-kanak.

Bagaimanapun, angka kematian diumumkan pentadbiran Taliban melebihi 2,000 sementara 9,000 lagi cedera.

Dianggarkan 25,000 bangunan telah musnah dan mangsa yang terselamat kini tidur dalam khemah di sebelah runtuhan rumah mereka akibat bimbang gegaran susulan.

Afghanistan sudah berada dalam cengkaman krisis kemanusiaan yang teruk, berikutan penarikan bantuan asing secara meluas sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021. - Agensi