Adakah Pan-gon masih buru 'import' Harimau Malaya?

Kim Pan-gon. Foto Bernama
Kim Pan-gon. Foto Bernama
A
A
A

PADA 25 Januari lalu, skuad bola sepak Malaysia mengakhiri kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar penuh bangga dan bermaruah apabila berjaya mengikat gergasi Asia, Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3.

Keputusan tersebut sudah cukup memadam luka Harimau Malaya yang sebelum itu terpaksa akur dengan keampuhan dua wakil dari Asia Barat iaitu Jordan dan Bahrain dalam aksi peringkat Kumpulan E.

Kekalahan besar 0-4 kepada Jordan sebelum tewas tipis 0-1 ketika berdepan Bahrain menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon itu perlu mengucapkan lebih awal pada kempen Piala Asia kali ini.

Namun, Harimau Malaya meninggalkan Doha dengan kebanggaan apabila hampir memalukan Korea Selatan yang dibarisi beberapa pemain berpangkalan di Eropah termasuk kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

Bagai langit dan bumi, Harimau Malaya yang ketika itu menduduki ranking ke-130 dunia diramal bakal menjadi ‘lauk’ Taeguk Warriors, pasukan yang menghuni tangga ke-23 dunia yang tampil sebagai calon pilihan juara.

Namun, reputasi besar Korea Selatan tercalar apabila bola rembatan penyerang naturalisasi, Romal Morales pada penghujung perlawanan menerjah gawang juara Piala Asia dua kali itu, sekali gus mengikat kedudukan seri 3-3.

Apapun, pencapaian Harimau Malaya pada kempen Piala Asia 2023 sudah menjadi satu lagi sejarah dalam lipatan sukan tanah air.

Namun, hakikatnya perjalanan Harimau Malaya tidak akan terhenti di pentas Piala Asia.

Artikel Berkaitan:

Misi lebih penting adalah layak ke pentas Piala Dunia.

Kegagalan layak ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023, bukanlah penamat segala-galanya buat Harimau Malaya.

Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang akan bersambung bulan depan harus kembali menjadi fokus utama Harimau Malaya.

Persoalannya, adakah Harimau Malaya akan berubah wajah?

Khabarnya ada pemain berdarah campuran yang beraksi di liga luar negara berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada Piala Asia 2023, Malaysia mempertaruhkan sembilan tonggak warisan selain empat pemain naturalisasi menjadikan Malaysia berbanding tiga negara lain dari Asia Tenggara memiliki paling ramai ‘tenaga import’.

Kini terpulang kepada Pan-gon.

Jika nak tambah atau kurang pemain warisan mahupun naturalisasi, ikut sahaja ‘selera’ anda.