Lapan pasukan tidak jejas kerancakan MPFL Divisyen Satu

Rosmadi (tiga dari kiri) bersama Hamidin di Kompleks Sukan Shah Alam pada Sabtu.
Rosmadi (tiga dari kiri) bersama Hamidin di Kompleks Sukan Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

KEMERIAHAN dan mutu Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen Satu dijangka tidak terjejas walaupun hanya lapan pasukan bertanding berbanding sasaran awal iaitu 10 pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, ia kerana lapan pasukan itu adalah pasukan yang biasa mengambil bahagian dan mempunyai peminat tersendiri.

Beliau berkata, khidmat pemain import yang digunakan kebanyakan pasukan juga mampu menyumbang kepada peningkatan prestasi sekali gus dapat menaikkan imej dan daya saing liga.

"Mereka (lapan pasukan) ini pasukan yang biasa dengan liga kita... saya lihat perlawanan pembukaan hari ini amat sengit, di mana mutu permainan (kedua-dua pasukan) hampir sama.

"Kedua-dua pasukan juga ada guna pemain import, jadi kita harap kehadiran mereka (pemain import) serta kualiti mereka dapat bantu pemain tempatan dan tingkatkan mutu liga," katanya ketika ditemui pada aksi sulung MPFL Divisyen Satu di Kompleks Sukan Shah Alam pada Sabtu.

Pada masa sama, Rosmadi mengesahkan MPFL Divisyen Dua dijadual berlangsung Mei ini dengan penglibatan tujuh pasukan sekali gus menamatkan teka-teki berhubung status saingan liga itu.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin merasmikan pelancaran MPFL Divisyen Satu di sini yang disusuli aksi pembukaan antara Shah Alam City dan juara bertahan Pahang Rangers FC yang berkesudahan 6-6.

Enam pasukan lain yang beraksi dalam MPFL Divisyen Satu musim ini adalah Gombak TOT United FC, Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu, KL City FC, Selangor FC dan Sabah FA. - Bernama

Artikel Berkaitan: