Harimau Malaya bukan harimau kacukan

Pemain kacukan antara yang memperkuatkan cabaran Harimau Malaya dalam Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini.
Pemain kacukan antara yang memperkuatkan cabaran Harimau Malaya dalam Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini.
A
A
A

PEMINAT bola sepak negara tidak seharusnya melabel skuad Harimau Malaya sebagai harimau kacukan susulan pendirian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu terus memperkasakan pasukan dengan pemain kacukan.

Bekas pemain kebangsaan, Reezal Zambery Yahya berkata, tiada salahnya FAM mahu menarik lebih ramai pemain kacukan apatah lagi ia telah terbukti memberikan impak positif kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, apa yang menjadi pertikaian adalah pemain naturalisasi yang dilihat tidak mencapai tahap yang diperlukan dalam skuad negara.

"FAM ada sasaran tersendiri dan untuk mengambil pemain kacukan ini adalah perkara yang bagus kerana boleh membantu meningkatkan pasukan kita.

"Mereka juga banyak pendedahan dan pengalaman bermain di luar negara, pada saya itu bukan satu masalah (ambil pemain kacukan).

"Cuma, kita perlu tengok balik adalah mengenai pemain naturalisasi. Saya rasa untuk pemain naturalisasi itu lebih baik kita bagi peluang kepada pemain tempatan kita," katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, FAM menegaskan sedia menyambar lebih ramai pemain kacukan untuk beraksi bersama Harimau Malaya dengan tiga atau empat pemain berada dalam 'radar' badan induk bola sepak negara.

Sebelum ini, sebuah laman pencari bakat di media sosial, frfuturetalents menyenaraikan ramai pemain warisan yang sedang beraksi dengan pasukan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, penyerang kelab Liga Austria, Rapid Vienna iaitu Ferdy Druijf, selain pemain tengah kelab Belanda Heracles Almelo, Sem Scheperman.

Namun, langkah FAM itu turut menimbulkan pertikaian dalam kalangan peminat bola sepak negara yang melihat bakat tempatan akan terpinggir dalam pasukan kebangsaan akan terpinggir dengan kehadiran ramai pemain kacukan.

"Bagi saya, kita boleh fokus kepada pemain kacukan dan pemain tempatan dan ketepikan dahulu pemain naturalisasi. Ia akan jadi seimbang (antara bakat tempatan dan kacukan)

"Tak ada lah kita nampak kita diwakili banyak pemain yang bukan tempatan. Dalam masa sama, FAM juga perlu menilai dengan sebaik mungkin pemain kacukan yang mahu diambil itu. Jangan main ambil saja," katanya.

Ketika ini, skuad negara dibarisi beberapa pemain kacukan seperti Darren Lok, Corbin Ong, Stuart Wilkin, Brendan Gan, Daniel Ting, Dion Cools, Matthew Davies dan Junior Eldstal.