‘Peruntukan Senarai Negeri, Persekutuan tidak jelas - Muhamad Asri

Muhamad Asri
Muhamad Asri
A
A
A

SHAH ALAM- Peruntukan Senarai Negeri dan Persekutuan adalah tidak jelas terutama sekali jika melibatkan kesalahan undang-undang jenayah syariah.

Bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah berkata, pemahaman setiap individu berkaitan jenayah syariah mempunyai pentafsiran berbeza dan ia perlu dijelaskan secara ringkas bagi mengelak sebarang salah faham.

Menurutnya, masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan hakim di Mahkamah Persekutuan dalam membuat sebarang keputusan kerana undang-undang tersebut dibuat oleh pihak legislatif.

“Jenayah dalam undang-undang sivil adalah kesalahan yang bercanggah dengan undang-undang manakala, jenayah dalam Islam adalah larangan termaktub di dalam al-Quran dan hadis.

“Tugas Hakim Mahkamah Persekutuan ialah mentafsir undang-undang dan legislatif merupakan pembuat undang-undang sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program 'Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘Kuasa Mahkamah Syariah Mudah Dicabar, Mana Silapnya?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Turut hadir Peguam, Haniff Khatri dan rancangan tersebut dihoskan oleh Finaz Yunus.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Asri, jika kuasa Mahkamah Syariah tidak terus diperkasa, umat Islam di negara ini bebas melakukan pelbagai perkara yang menyalahi hukum.

Artikel Berkaitan:

“Kita lihat di Indonesia dan Singapura, kedua-dua ini tidak mempunyai undang-undang jenayah syariah. Mereka bebas untuk minum arak dan boleh berkahwin berlainan agama.

“Kalau semua kesalahan jenayah syariah dibatalkan ia boleh membawa implikasi buruk. Itu yang kita takut,” katanya.