Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan akan dibentuk

Mohd Na'im bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 pada Jumaat. Foto Bernama
Mohd Na'im bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Majlis Raja-Raja telah memberi perkenan supaya Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan dibentuk di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata jawatankuasa itu dibentuk bertujuan untuk melihat dan memantau isu-isu yang berlaku di Mahkamah Syariah sepanjang masa.

Beliau berkata, nama-nama ahli jawatankuasa itu, yang antaranya akan dianggotai ketua hakim syariah negeri, telah dipersembah dan menunggu perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang dalam masa terdekat.

"Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan ini telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat yang lalu.

"Pembentukan jawatankuasa ini kekal berbanding Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas), yang itu ad hoc (ia dibentuk atas) titah Sultan Selango,r Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang Peringkat Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat.

Mengenai Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, Mohd Na'im berkata, ia telah bersidang sebanyak lapan kali antara Disember lepas hingga bulan ini.

"Tuanku Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI dah beri tempoh setahun untuk mereka sediakan syor-syor.

"Tempoh setahun tu sebab terma rujukan Jawatankuasa Khas ini ia bukan sahaja merujuk kepada kes Iki Putra Mubarak dan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, tetapi untuk melihat secara luas bagaimana Mahkamah Syariah, institusi kehakiman syariah ini, boleh terus dimartabat, dilindungi dan seterusnya diperkasa," katanya.

Mohd Na'im dalam pada itu berkata, pihaknya mencadangkan supaya Jabatan Penguatkuasaan Syariah diwujudkan di setiap negeri dalam usaha memperkasakan lagi undang-undang syariah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, buat masa ini Jabatan Agama Islam Negeri hanya mempunyai bahagian penguatkuasaan dan bukan sebagai sebuah jabatan.

"Sebagai contoh di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), dahulu ada bahagian pendakwaan syariah dan sekarang bahagian itu sudah menjadi Jabatan Pendakwaan Syariah, namun bahagian penguatkuasaan masih di bawah Jawi.

"Jadi untuk memastikan supaya bahagian penguatkuasaan ini boleh bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi secara eksekutif untuk melakukan siasatan dan tangkapan, maka ada keperluan untuk menjadikannya sebagai sebuah jabatan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, cadangan itu hanya akan dipertimbangkan secara serius selepas negeri-negeri mewujudkan satu jabatan pendakwaan syarie yang berasingan.

"Sekarang ini kebanyakan di negeri-negeri, masih lagi bahagian penguatkuasaannya berada di bawah Jabatan Agama Islam.

"Kami nak pastikan semua negeri-negeri mewujudkan Jabatan Pendakwaan Syarie terlebih dahulu, kemudian kami akan bincang (mewujudkan jabatan penguatkuasaan)," katanya. - Bernama