PN wujud jawatankuasa khas, perkasa undang-undang syariah

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) akan mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang bagi memperkasa kedudukan perundangan syariah dan memelihara kepentingan umat Islam.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Katanya, PN juga akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat yang diketuai Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

"Parti memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan baru-baru ini yang diyakini akan memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di Malaysia.

"Sehubungan itu, PN akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat dan mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang. Ia akan melibatkan penyertaan pakar-pakar perlembagaan serta perundangan Islam, para ulama, ilmuwan Islam serta pemegang taruh yang berkaitan bagi mencadangkan tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, PN telah mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi dipengerusikan oleh Muhyiddin.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta ahli-ahli Majlis Tertinggi.

Menurut Muhyiddin, Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi itu membincangkan dan memperhalusi secara khusus isu keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan dan kesannya terhadap perundangan syariah, umat Islam serta masyarakat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, diumumkan juga pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 12 Februari 2024.

Beliau menggantikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Majlis Tertinggi Perikatan Nasional mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Faizal atas sumbangan dan jasa bakti beliau sepanjang memikul amanah yang diberikan sebelum ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!