Undang-undang syariah bukan sekadar hukuman

Ia sarat dengan kemuliaan dan pengajaran penuh hikmah, malah paling relevan diduplikasikan


PENUBUHAN mahkamah syariah selepas kemerdekaan berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk mentadbir undang-undang Islam di negeri masing-masing. - Gambar hiasan
PENUBUHAN mahkamah syariah selepas kemerdekaan berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk mentadbir undang-undang Islam di negeri masing-masing. - Gambar hiasan
A
A
A

MESKIPUN dunia kini sudah memasuki era milenial, masih ada segelintir pihak menganggap undang-undang syariah bersifat kejam, zalim, kolot dan seumpamanya.

Hukuman hudud dan sebatan antara yang sering menjadi perhatian kerana terdapat sebilangan individu melihatnya sebagai tidak wajar dilaksanakan.

Hakikatnya, undang-undang syariah sebenarnya sebahagian peraturan yang diturunkan bertujuan untuk mengatur dan mengawal kehidupan manusia, sesuai dengan fitrah insan itu sendiri.

Demikian fakta yang ditegaskan dalam teks khutbah Jumaat yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada minggu lalu.

Mimbar menjelaskan, para ulama bersepakat bahawa undang-undang Islam adalah paling lengkap dengan keperluan dan kehendak manusia.

“Bahkan, ia relevan dilaksanakan pada mana-mana zaman dan tempat.

“Keyakinan itu juga berkait rapat dengan akidah dan kepercayaan kita terhadap ajaran Islam yang benar serta syumul,” katanya sebagaimana dipetik menerusi khutbah Jumaat bertajuk ‘Keadilan Dijulang, Keberkatan Ditatang’ yang disiarkan menerusi laman web rasmi jabatan berkenaan.

Bertepatan dengan ayat 49, Surah al-Maidah, undang-undang syariah yang diturunkan ALLAH SWT bukan sekadar hukuman bagi orang yang melakukan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya dari satu segi, ia pada hakikatnya turut merangkumi kemuliaan akhlak dan sarat dengan pengajaran penuh hikmah kepada umat manusia.

“Sedar atau tidak, ia mendidik manusia menjadi individu yang terbaik dan lebih berdisiplin dalam menguruskan kehidupan.

PARA ulama bersepakat bahawa undang-undang Islam adalah paling lengkap dengan keperluan dan kehendak manusia. - Gambar hiasan/ Foto: 123RF
PARA ulama bersepakat bahawa undang-undang Islam adalah paling lengkap dengan keperluan dan kehendak manusia. - Gambar hiasan/ Foto: 123RF

“Itulah tujuan sebenar Rasulullah SAW diutuskan,” katanya.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Utamakan keadilan, hapus kezaliman

Sesungguhnya, perundangan Islam tidak hanya bersifat membendung mahupun menyekat semata-mata.

Menerusi teks khutbah itu, Jakim menekankan, perundangan Islam begitu mengutamakan keadilan dan menghapuskan kezaliman tanpa mengira pangkat serta darjat.

Mudah kata, ia memberi kebaikan kepada semua pihak. Tidak kiralah sama ada individu, keluarga, mahupun kepentingan masyarakat dan negara, semuanya terpelihara dari segi keadilan.

“Demikianlah garis panduan ditetapkan oleh ALLAH SWT menerusi kalam-NYA pada ayat 105, Surah an-Nisa’.

“Ayat itu antara lain menyatakan, al-Quran merupakan pembawa kebenaran dan menghukum manusia menurut ketetapan-NYA serta tidak membela orang yang khianat,” katanya.

Menyoroti historiografi dalam konteks negara kita, kewujudan dan pelaksanaan undang-undang Islam bermula sejak zaman kerajaan Kesultanan Melayu.

Sementara itu, penubuhan mahkamah syariah selepas kemerdekaan pula berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk mentadbir undang-undang Islam di negeri masing-masing.

Lantaran itu, negeri-negeri di Malaysia telah pun mengadakan peruntukan termasuklah penubuhan keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah syariah di bawah Akta atau Enakmen Negeri-Negeri.

“Malah, Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf dan menghormati kedudukan serta bidang kuasa mahkamah syariah di negara ini.

“Pada tahun 1988, Fasal (1A) Perkara 121 telah digubal dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini bertujuan untuk menetapkan bidang kuasa yang jelas antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah. Melalui pindaan ini, ia telah meningkatkan lagi kedudukan dan kewibawaan mahkamah syariah di negara ini.

“Menurut peruntukan itu, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa mahkamah syariah,” katanya.

Pertindihan kuasa

Tidak dinafikan adakalanya timbul isu pertindanan kesalahan melibatkan perkara yang terkandung dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dengan kesalahan dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) atau undang-undang Persekutuan yang lain.

PERUNDANGAN Islam begitu mengutamakan keadilan dan menghapuskan kezaliman tanpa mengira pangkat serta darjat. - Gambar hiasan/ Foto: 123rf
PERUNDANGAN Islam begitu mengutamakan keadilan dan menghapuskan kezaliman tanpa mengira pangkat serta darjat. - Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Bagi menangani sebarang isu berbangkit daripada pertindanan antara bidang kuasa Dewan Undangan Negeri dan Parlimen mengenai undang-undang Islam dan Persekutuan, kerajaan menyambut baik cadangan penubuhan suatu Jawatankuasa Khas sebagaimana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut bertindak selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) semasa mesyuarat MKI pada 28 Ogos 2023.

“Sama-samalah kita mendoakan agar Jawatankuasa Khas yang dibentuk itu akan dapat berperanan dengan berkesan dan berhikmah ke arah mencapai matlamat memastikan pemerkasaan sistem perundangan serta kehakimah syariah di negara kita.

“Seterusnya, ia dapat menjalankan fungsinya dalam menegakkan hukum dengan adil dalam masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, khutbah Jumaat tersebut turut memberi penekanan bahawa undang-undang Islam amat menitikberatkan soal keadilan dan menghapus kezaliman tanpa mengira pangkat mahupun darjat.

Bukan itu sahaja, penubuhan mahkamah syariah berasaskan sistem Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk mentadbir undang-undang Islam di negeri masing-masing.

“Sebagai masyarakat Islam, seharusnya mereka menaruh kepercayaan tinggi terhadap kredibiliti dan martabat mahkamah syariah yang wujud sekian lama dan kini semakin berkembang seiring pertumbuhan sistem perundangan yang diiktiraf.

“Seperkara lagi, masyarakat juga seharusnya memberi ruang dan sepenuh keyakinan kepada jawatankuasa ditubuhkan bagi mencari penyelesaian yang terbaik buat umat Islam dan negara,” katanya.