‘Permohonan maaf Dd Chronicle tidak cukup’ - AMK

AMK Pusat dan Wilayah Persekutuan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Cheras pada Jumaat susulan penularan video parodi pempengaruh media sosial, Dd Chronicle.
AMK Pusat dan Wilayah Persekutuan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Cheras pada Jumaat susulan penularan video parodi pempengaruh media sosial, Dd Chronicle.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa permohonan maaf daripada pempengaruh media sosial, Dd Chronicle tidak mencukupi susulan video dengan kandungan mempersendakan agama dan menghina mahkamah.

Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, pihaknya memandang serius terhadap tindakan melampau Dd Chronicle atau nama sebenar Dediy Sulaeman Ra’e, 43, sehingga menghina institusi kehakiman sekali gus seolah-olah tidak menghormati kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“AMK berpendirian bahawa permohonan maaf daripada DD Cronicle adalah tidak cukup untuk kesalahan besar.

“Ini kerana video yang dimuat naik itu mampu mencetuskan amarah daripada rakyat terhadap institusi kehakiman negara,” katanya ketika sidang akhbar AMK Pusat, Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Cheras pada Jumaat.

⁠Muhammad Naqib hadir bersama Ketua Penerangan AMK Pusat, Nabil Halimi; Setiausaha AMK Wilayah Persekutuan, Noor Amelia Zainabila Zaiffri dan Bendahari AMK Wilayah Persekutuan, Ahmad Bariq Yusof.

Sebelum ini, AMK dilaporkan akan membuat laporan polis secara serentak di 14 lokasi seluruh Malaysia pada Jumaat jam 3 petang.

Video yang dimuat naik oleh Dd Chronicle di Youtube mendapat kecaman hebat daripada warganet kerana didakwa mempersendakan agama serta menghina mahkamah.

Video parodi berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan Dd Chronicle menyatakan bahawa perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada Rabu pempengaruh tersebut tampil memberi penjelasan dan mengakui kesilapan berlaku kerana terlepas pandang serta tidak berhati-hati terhadap fakta walaupun hanya untuk video parodi.

Mengulas lanjut, Muhammad Naqib berkata, lakonan Dd Chronicle itu bukanlah satu parodi atau satira tetapi dibuat secara sengaja untuk menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Ia jelas salah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan di atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci membenci, niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni mahupun perpaduan.

“Laporan polis ini turut dibuat bagi melindungi kesejahteraan dan keharmonian agama serta menyahut titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-71 agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.

Pada masa sama, AMK turut menegaskan mana-mana pihak menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam membuat hantaran di media sosial untuk tidak memutarbelitkan fakta.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28