Pura-pura tanya arah, helah licik samun kereta di pasar raya

Seorang lelaki berpura-pura bertanya arah sebelum merampas kunci kereta daripada seorang wanita di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Taman Putri, Kulai
Seorang lelaki berpura-pura bertanya arah sebelum merampas kunci kereta daripada seorang wanita di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Taman Putri, Kulai
A
A
A

KULAI - Seorang wanita menjadi mangsa samun selepas keretanya dilarikan oleh seorang lelaki yang berpura-pura bertanyakan arah di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Taman Putri, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian samun itu yang berlaku pada kira-kira jam 3.15 petang itu turut tular di media sosial.

"Siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 70-an telah meletakkan kereta jenis Perodua Viva berwarna biru gelap sebelum berjalan masuk ke pasar raya berkenaan.

“Seorang lelaki yang memakai pelitup muka menghampiri mangsa dan berpura-pura meminta tunjuk arah.

"Suspek kemudian merampas kunci kereta mangsa sebelum melarikan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM5,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai di talian 07-663 2222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Arun Ramamoorthy di talian 013-333 2385.

Terdahulu tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 26 saat menunjukkan seorang lelaki menghampiri seorang wanita sebelum bertindak merampas kunci kereta.

Artikel Berkaitan:

Wanita terbabit dilihat menjerit pertolongan namun kereta terbabit sudah dilarikan lelaki berkenaan.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang wanita menjadi mangsa samun selepas keretanya dilarikan di Taman Putri, Kulai
  • Kejadian berlaku sekitar jam 3.15 petang dan tular di media sosial
  • Mangsa berusia lingkungan 70-an dan keretanya jenis Perodua Viva berwarna biru gelap
  • Suspek merampas kunci kereta sambil berpura-pura meminta arah
  • Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM5,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!