'Jangan melampau dalam berjenaka'

Pemuda Amanah membuat laporan polis berkaitan video parodi didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
Pemuda Amanah membuat laporan polis berkaitan video parodi didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
A
A
A

SHAH ALAM - 'Tindakan mempersendakan undang-undang perbuatan melampau.'

Demikian tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkaitan video parodi dibuat pempengaruh media sosial, Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, yang didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.

Beliau berkata, parodi adalah satu perbuatan sinis dan mempunyai unsur-unsur jenaka namun harus diingat bahawa tidak semua perkara boleh dibuat mainan dan dijadikan sebagai bahan jenaka.

"Tindakan pempengaruh ini telah mempersendakan enakmen hukuman mahkamah syariah seolah-olah ia telah terbatal walaupun sebenarnya hukuman-hukuman yang disebut oleh beliau masih lagi termaktub di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

"Apa yang diungkapkan itu jelas mengelirukan, memesongkan fakta serta berniat untuk mempersendakan proses penghakiman yang dilakukan oleh badan perundangan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Khamis.

Katanya, perbuatan sebegini jelas tindakan yang melampaui batas.

"Tidak boleh sewenang-wenangnya membuat jenaka berkaitan satu perkara yang disifatkan boleh menimbulkan ketidakfahaman dan kegusaran dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Ia jelas sekali merupakan perkara yang tidak bertanggungjawab. Saya tiada masalah dengan beliau atau mana-mana pempengaruh, namun apabila hal sebegini dijadikan jenaka, maka saya sifatkan ia sebagai satu perbuatan melampau," katanya.

Danial Al-Rashid selepas membuat laporan di IPD Shah Alam pada Khamis.
Danial Al-Rashid selepas membuat laporan di IPD Shah Alam pada Khamis.

Menurutnya, sebagai individu dan pempengaruh media sosial seharusnya tidak menjadikan isu sebegini untuk menarik perhatian masyarakat.

"Apa pun yang dilakukan ia berbalik kepada soal kebertanggungjawaban terhadap apa yang kita tuturkan atau ulas.

"Sekiranya kita mengulas sesuatu perkara berdasarkan bukan fakta, ia satu tindakan yang bersifat memecah-belah dan tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Danial berkata, lebih 30 laporan polis dibuat berkaitan pempengaruh media sosial itu di seluruh negara.

"Ini soal undang-undang, yang mana antara asas peruntukan yang perlu dijaga di negara ini dan tidak seharusnya dipermainkan.

"Jadi Pemuda Amanah menggesa agar tindakan serta siasatan segera diambil terhadap individu ini," katanya.

Baru-baru ini, tular video yang dimuat naik Dd Chronicle di YouTube mendapat kecaman hebat daripada warganet kerana didakwa mempersendakan agama serta menghina mahkamah.

Video parodi berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan Dd Chronicle menyatakan bahawa perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.

Bagaimanapun, pada Rabu pempengaruh tersebut tampil memberi penjelasan dan mengakui kesilapan berlaku kerana terlepas pandang serta tidak berhati-hati terhadap fakta walaupun hanya untuk video parodi.