[VIDEO] Lagi laporan polis terhadap Dd Chronicle

A
A
A

KUANTAN - Permohonan maaf daripada pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berkait video parodi dilakukan yang didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah tidak menghalang proses perundangan dikenakan terhadapnya.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, atas alasan itu parti Amanah membuat satu laporan polis terhadap Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43.

Menurutnya, anasir seperti Dd Chronicle perlu dikenakan tindakan serius supaya ia menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia.

Mohd Fadzli (dua, kanan) melihat laporan polis yang dibuat Wan Muhammad Rahmat (dua, kiri) pada Khamis.
Mohd Fadzli (dua, kanan) melihat laporan polis yang dibuat Wan Muhammad Rahmat (dua, kiri) pada Khamis.

"Dari segi perundangan kenyataan maaf, kalau undang-undang sivil ia hanya mengurangkan jumlah ganti rugi tetapi ia tidak menghalang proses perundangan dikenakan kepadanya,

"Walaupun ia dah dipadam, sudah di nyah turun daripada (laman) media sosial, tetapi kesan yang ditinggalkan oleh video sebegitu adalah satu bentuk ancaman yang sangat serius kepada sistem perundangan Islam dalam negara kita," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuantan pada Khamis.

Laporan terhadap Dd Chronicle dibuat Ketua Pemuda Amanah, Wan Muhammad Rahmat Wan Hashim.

Baru-baru ini, satu rakaman video dimuat naik oleh Dd Chronicle di Youtube yang mendapat kecaman hebat daripada warganet kerana didakwa mempersendakan agama serta menghina mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Video parodi berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan Dd Chronicle menyatakan bahawa perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.

Bagaimanapun, pada Rabu pempengaruh tersebut tampil memberi penjelasan dan mengakui kesilapan berlaku kerana terlepas pandang serta tidak berhati-hati terhadap fakta walaupun hanya untuk video parodi.

Mohd Fadzli menjelaskan, Dd Chronicle turut menyentuh agama Islam sedangkan ini adalah bidang kuasa Raja-raja dan Sultan serta isu kaum, agama, raja (3R).

"Jadi tiada pilihan lain, bagi pihak pendakwaan selain mendakwa orang begini, supaya jadi peringatan kepada kita semua," ujarnya.

Sebelum itu, Mohd Fadzli berkata, video terbabit adalah satu bentuk fitnah dan menghina mahkamah.

Jelasnya, paling bahaya video tersebut boleh menghasut dan menimbulkan kekeliruan kepada terutama orang Islam di negara kita.

"Apa yang disebutkan dalam video tersebut kononnya negara kita pada hari ini boleh untuk melakukan penzinaan, liwat boleh untuk berjudi, minum arak secara bebas tanpa sebarang sekatan perundangan. Jadi, apa yang dipaparkan dalam video tersebut sama sekali tidak betul.

"Boleh diambil tindakan di bawah undang-undang, terutamanya Akta Hasutan, Akta SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Akta kesalahan Enakmen Syariah Negeri. Kita (Parti Amanah) sangat serius tentang isu ini," katanya.