Jenayah syariah: Kerajaan negeri junjung titah Sultan Selangor

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga akan mengikut garis panduan dan kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dalam isu menggubal undang-undang jenayah syariah.

Malah, jelas Menteri Besar, usaha kerajaan Persekutuan juga sangat jelas bahawa kerajaan ingin meminda Perlembagaan supaya enakmen syariah dan juga kuasa-kuasa itu dapat diperkukuhkan.

"Hari ini MKN (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) membuat kenyataan dikeluarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

"Saya selaku Menteri Besar menjunjung tinggi di atas titah Sultan Selangor yang melihat isu ini lebih kepada isu Perlembagaan dan urusan pentadbiran negara serta pentadbiran syariah berbanding dengan politiksasi sesetengah pihak yang sudah kekeringan idea," katanya.

Amirudin (duduk, tengah) ditemui pada Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor Bersama Menteri Besar pada Khamis
Amirudin (duduk, tengah) ditemui pada Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor Bersama Menteri Besar pada Khamis

Menteri Besar ditemui pada Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor Bersama Menteri Besar di Dewan Jubli Perak di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Khamis.

Terdahulu, Sultan Selangor mengingatkan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office pada Khamis, Sultan Selangor turut bertitah di dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah usaha kita dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul.

Titah baginda, usaha itu perlu dilaksanakan dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian dalam Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya pada Khamis.

Pada Jumaat minggu lalu, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Menangani isu berbangkit, Sultan Selangor turut bertitah, apa yang lebih penting ialah usaha mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!