Jawatankuasa Khas diberi tempoh setahun kemuka cadangan kepada MKI

Sultan Sharafuddin mempengerusikan Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya pada Khamis.
Sultan Sharafuddin mempengerusikan Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa khas mengkaji isu berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri diberi tempoh setahun bagi mengemukakan sebarang cadangan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, semua pihak termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu memberikan cadangan berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan jawatankuasa khas melaksanakan tugas.

"Beta faham menjadi satu amanah berat yang perlu dipikul oleh jawatankuasa khas ini.

"Namun beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli jawatankuasa ini serta dengan izin ALLAH, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 yang dikongsi di Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Sebelum itu, Sultan Selangor disembah maklum bahawa jawatankuasa khas yang ditubuhkan atas titah baginda pada mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos tahun lalu sedang meneliti persoalan berbangkit.

Sultan Sharafuddin bertitah, jawatankuasa khas itu berperanan melaksanakan kajian terhadap isu-isu berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang sedia ada secara menyeluruh.

Menurut baginda, selain itu, jawatankuasa itu turut mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa khas ini juga mencadangkan dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah," titah baginda.