Pelantikan Menteri Agama bukan ahli politik wajar diteruskan - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin mempengerusikan Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya pada Khamis.
Sultan Sharafuddin mempengerusikan Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah amalan melantik Menteri Hal Ehwal Agama dalam kalangan bukan ahli politik dapat diteruskan seperti kerajaan pada masa ini.

Baginda bertitah, pelantikan menteri yang memegang portfolio itu dapat memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.

"Tumpuan sepenuhnya dapat diberikan oleh Menteri Agama di dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan umat Islam.

"Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan Ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang Menteri Agama," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali Ke-71 yang dikongsi di Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam di negara ini terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara.

"Sesungguhnya akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya.

"Berdasarkan hasrat itulah, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun, perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!