Kerajaan Persekutuan sambut baik titah Sultan Selangor - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan menyambut baik titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah Sultan Selangor, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) itu, juga dilihat tepat pada masanya bagi menurunkan suhu hangat politik berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lepas yang mengisytiharkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah.

Anwar berkata, titah Sultan Selangor dalam Mesyuarat MKI kali ke-71 di Putrajaya hari ini yang turut dihadiri beliau itu, dilihat sebagai satu kenyataan tegas dalam mempertahankan semangat Perlembagaan Negara.

"Mungkin masyarakat Cina tidak rasa tekanan itu, tapi bagi masyarakat Melayu dan Islam seluruh negara, isu ini jadi isu politik sangat hangat, cerca-mencerca, penghinaan hakim-hakim, kerajaan dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Presiden ACCCIM, Tan Sri Low Kian Chuan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Baginda bertitah demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas memutuskan bahawa 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jejayah Kelantan batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan sama.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat tersebut juga, Sultan Selangor bertitah bahawa sebagai negara berlandaskan peraturan hukum, maka negara perlulah patuh kepada Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi keputusan Mahkamah Persekutuan itu, menurut Tuanku (Sultan Selangor) harus dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum dan semangat Perlembagaan. Tidak timbul nak meringankan dan meremehkan kedudukan Mahkamah Syariah," katanya.

Anwar berkata, sekiranya terdapat cadangan mahupun pandangan baharu berhubung isu syariah, ia boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

Pada Disember lepas, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas itu yang bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. - Bernama