Jawatankuasa khas MKI perlu segera bersidang bincang isu mahkamah syariah

ABDUL AZIZ
ABDUL AZIZ
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa khas mengkaji isu berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) digesa segera bersidang dalam usaha menangani isu berkaitan perundangan syariah ketika ini.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, perkara yang dibangkitkan ketika ini melibatkan pertindihan bidang kuasa persekutuan dan negeri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, di peringkat DUN tiada sebarang penyelesaian dapat dilakukan berhubung isu tersebut.

"Ini soal pertindihan dengan bidang kuasa persekutuan. Saya tidak nampak DUN boleh berbuat apa-apa untuk memperbaiki keadaan.

"Jadi saya berpendapat terpulang kepada Parlimen untuk meneliti dan memutuskan apa yang diperlukan untuk menyelamatkan keadaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar jawatankuasa khas mengkaji isu berkaitan kompetensi DUN diberi tempoh setahun bagi mengemukakan sebarang cadangan kepada MKI sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

Baginda bertitah, semua pihak termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu memberikan cadangan berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan jawatankuasa khas melaksanakan tugas.

Sebelum itu, Sultan Selangor disembah maklum bahawa jawatankuasa khas yang ditubuhkan atas titah baginda pada mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos tahun lalu sedang meneliti persoalan berbangkit.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin bertitah, jawatankuasa khas itu berperanan melaksanakan kajian terhadap isu-isu berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang sedia ada secara menyeluruh.