'Arwah Zaharif sepatutnya sedang duduki SPM' - Abang

Zarul Fitri (kiri) bersama ahli keluarga terdekat menziarahi pusara adiknya Allahyarham Muhammad Zaharif di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Fair Park, Ipoh.
Zarul Fitri (kiri) bersama ahli keluarga terdekat menziarahi pusara adiknya Allahyarham Muhammad Zaharif di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Fair Park, Ipoh.
A
A
A

IPOH - 'Kalau arwah adik masih hidup, waktu ini dia ada di sekolah jalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)'.

Luah Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, abang kepada Muhammad Zaharif Affendi, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati yang maut selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang pegawai kanan polis, Disember lalu.

Zarul Fitri berkata, arwah mengambil aliran sastera dengan tujuh subjek dalam peperiksaan SPM 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Januari hingga 7 Mac ini.

"Kalau ikutkan memang arwah tengah SPM sekarang ni, kalau tak silap saya hari ini kertas Pendidikan Islam.

"Selain kami, kehilangan arwah juga dirasai rakan-rakan kelasnya. Sehingga kini, masih ada kawan-kawan sekolahnya datang ke restoran kami, jumpa mak dan menangis kerana rindu dan teringat dekat arwah.

"Walaupun saya cuba berlapang dada, tetapi sejujurnya saya juga sebak setiap kali nampak pelajar yang berpakaian sukan sekolah, saya terkenangkan arwah memakai pakaian itu semasa kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Zarul Fitri sebelum itu hadir ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mengikuti prosiding sebutan semula kes berkenaan.

Zarul Fitri ketika ditemui pemberita.
Zarul Fitri ketika ditemui pemberita.

Artikel Berkaitan:

Selesai prosiding di mahkamah, beliau ditemani bapa saudara, Abdul Razak Judin, 49, menziarahi pusara Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Fair Park di sini.

Zarul Fitri berkata, walaupun ahli keluarga masih merasai kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu, namun mereka telah menerima hakikat sebenar dan mula menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

"Kami semua sudah menerima kenyataan ini. Rasa kehilangan itu sentiasa ada, tetapi kami cuba berdamai dengan takdir dan ketentuan ALLAH," katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, ahli keluarga akan terus berjuang menuntut keadilan dalam kes itu meskipun perlu menunggu dalam tempoh masa yang lama.

"Ibu bapa arwah sudah terima kematian anak mereka, sudah boleh meneruskan perusahaan restoran makanan seperti biasa.

"Kami sekarang cuma mahukan keadilan untuk arwah, tak kisahlah kalau perkara ini akan makan masa sekalipun," katanya.

Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes pegawai kanan polis didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember lalu.

Majistret S Punitha menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan melanjutkan tarikh sebutan kes bagi melengkapkan beberapa dokumen yang masih belum diperolehi.

Pada 18 Disember 2023, tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang bertugas sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kedah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif Affendi yang merupakan calon SPM SMK Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!