Pelajar maut dilanggar: Tertuduh dikawal ketat polis

Sebaik prosiding selesai, tertuduh dibawa keluar dari kawasan mahkamah diiringi lima kenderaan bercermin gelap milik PDRM.
Sebaik prosiding selesai, tertuduh dibawa keluar dari kawasan mahkamah diiringi lima kenderaan bercermin gelap milik PDRM.
A
A
A

IPOH - Prosiding pertuduhan membunuh terhadap pegawai kanan polis yang terbabit dalam kes kematian seorang pelajar di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin dikawal ketat polis.

Sekurang-kurangnya lima anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap mengiringi tertuduh sehingga masuk ke kamar mahkamah.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, berpangkat deputi superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu tiba sekitar jam 9 pagi dengan berpakaian baju T putih dan berseluar hitam.

Kepala dan muka tertuduh turut ditutup dengan sehelai kain hitam dalam keadaan tangan bergari.

Kawalan ketat diberikan sedikit menyukarkan petugas media membuat liputan terutama bagi merakam pergerakan tertuduh.

Dalam prosiding berlangsung selama lima minit itu, tertuduh kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Bagaimanapun, abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, yang hadir mewakili keluarga mengikuti prosiding itu tidak dapat menahan sebak dan berkali-kali mengesat air mata.

Ketika ditemui Sinar Harian, Zarul Fitri enggan mengulas lanjut atas nasihat peguamnya dan mengangguk apabila dapat melihat sendiri wajah tertuduh yang terlibat dalam kejadian yang meragut nyawa adiknya.

Artikel Berkaitan:

Sebaik prosiding selesai, tertuduh dibawa keluar dari kawasan mahkamah diiringi lima kenderaan bercermin gelap milik Pasukan Diraja Malaysia (PDRM).

Pekarangan mahkamah turut dibanjiri dengan kehadiran saudara dan rakan-rakan mangsa yang hadir sebagai tanda solidariti terhadap ketelusan siasatan kes itu.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar dengan sebahagiannya berkumpul di mahkamah seawal jam 7.30 pagi bagi memastikan tidak terlepas membuat liputan kes yang mendapat perhatian umum itu.

Mengikut pertuduhan, Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kedah itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau dipenjara sehingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes disebut semula pada 7 Februari 2024 sementara menunggu laporan-laporan berkaitan termasuk laporan kimia.