[VIDEO] Kes pegawai polis sebabkan kematian pelajar disebut semula 21 Mac

A
A
A

IPOH - Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes pegawai kanan polis didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember lalu.

Majistret S Punitha menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan melanjutkan tarikh sebutan kes bagi melengkapkan beberapa dokumen yang masih belum diperoleh.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk penyediaan dokumen berkenaan sebelum kes dibawa ke mahkamah tinggi.

Permohonan itu tidak mendapat bantahan daripada pihak pembelaan.

Pada 18 Disember 2023, tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang bertugas sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kedah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selain Afzainizam, pendakwaan turut dikendalikan Saiful Akmal Mod Said dan Geetha Jora Singh manakala tertuduh diwakili Peguam Jacky Loi Yap Loong dan Lim Chi Chau.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes pegawai kanan polis didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember lalu.
Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes pegawai kanan polis didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember lalu.

Turut hadir, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Datuk Zamri Idrus.

Sementara itu, tertuduh tiba di mahkamah sekitar jam 8.20 pagi dan masuk ke kamar mahkamah jam 9 pagi memakai pakaian lengan panjang dengan penutup kepala dan memakai pelitup muka dalam keadaan tangan bergari dan diiringi polis.

Prosiding berlangsung selama 15 minit sebelum dua kenderaan polis yang membawa tertuduh keluar dari kawasan mahkamah pada jam 9.40 pagi.

Ahli keluarga mangsa iaitu abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, dan bapa saudara, Abdul Razak Judin, 49, turut hadir bagi mengikuti prosiding mahkamah.

Di pekarangan mahkamah, Wan Azmir memberitahu pemberita bahawa dokumen penting perlu disiapkan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) berhubung pembekalan dokumen kepada pembelaan.

Katanya, set dokumen itu antara lain mengandungi segala dokumen termasuk semua keterangan, laporan forensik dan video sebagai bukti dalam kes.

"Sebelum hendak buktikan kes, pendakwaan akan serahkan satu salinan dokumen yang akan dipakainya itu kepada pihak pembelaan, selain peguam pemerhati pun akan minta satu set dokumen berkenaan," katanya.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif Affendi yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu melibatkan kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai terbabit dengan motosikal jenis Yamaha ditunggangi mangsa.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising menggunakan motosikal.

Laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.