[VIDEO] Keluarga tenang selepas DSP Mohd Nazri dihadap ke muka pengadilan

A
A
A

IPOH - "Jiwa dan hati kami lebih tenang."

Demikian kata Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, bapa kepada pelajar maut dilanggar dalam kejadian Jumaat lalu selepas pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang terlibat telah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas tuduhan membunuh.

Menurut pesara tentera itu, dia sekeluarga sudah menerima kenyataan dengan pemergian anak bongsunya, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, setelah pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan.

Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi
Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi

"Jiwa saya sudah boleh tenang apabila sudah tahu sesyen apa (302 Kanun Keseksaan) yang dikenakan.

"Saya betul-betul reda dengan kematian anak saya, namun di sebalik kejadian ini ada hikmahnya apabila dapat merapatkan ukhuwah rakyat Malaysia.

"Saya tidak kenal tetapi ramai yang datang dari Johor dan sebagainya tidak putus-putus berkunjung beri sokongan. Terima kasih media banyak bantu kami," katanya ketika menerima kunjungan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim di kediamannya di Taman Chepor Sentosa di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng.

Artikel Berkaitan:

Muhd Zamrie (kanan) menerima kunjungan Johari dan Azizi petang pada Isnin.
Muhd Zamrie (kanan) menerima kunjungan Johari dan Azizi petang pada Isnin.

Abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, berkata, kedua ibu bapanya semakin stabil dan tenang dengan perjalanan kes adiknya itu.

"Cuma saya tidak dapat tahan sebak (ketika hadir ke mahkamah) kerana pelakunya ada depan mata.

"Saya turut terharu dengan sokongan dan solidariti daripada orang awam yang tunggu dari pagi menunjukkan sokongan kepada arwah. Saya tahu ramai yang mendoakan adik saya," katanya.

Muhd Zamrie (tiga dari kanan) meluahkan rasa lega ketika menerima kunjungan Johari (tiga dari kiri) di kediamannya di Taman Chepor Sentosa pada Isnin.
Muhd Zamrie (tiga dari kanan) meluahkan rasa lega ketika menerima kunjungan Johari (tiga dari kiri) di kediamannya di Taman Chepor Sentosa pada Isnin.

Sementara itu, Johari berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memberi jaminan yang mana proses keadilan dilaksanakan mengikut undang-undang.

"Saya hendak minta pihak media supaya boleh bantu agar tidak tokok tambah cerita ini secara besar-besaran kerana ia akan mengganggu proses kehakiman dan keadilan.

"Saya rasa semua rakyat Malaysia turut bersimpati dengan kejadian ini dan berharap perkara ini tidak berulang," katanya.

Pada prosiding mahkamah hari ini, tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Pertuduhan terhadap Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kedah itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.