Premis perindustrian punca bau abnormal di Sungai Buah, Sungai Semenyih

Anggota LUAS memeriksa bau dan air sungai yang tercemar pada Selasa.
Anggota LUAS memeriksa bau dan air sungai yang tercemar pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah premis di kawasan perindustrian luar Selangor disyaki menjadi punca menyebabkan air berbau abnormal di Sungai Buah dan Sungai Semenyih pada malam Selasa.

Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas menerima maklumat mengenai pencemaran di kawasan tersebut kira-kira jam 8.30 malam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, keadaan itu menyebabkan bekalan air mentah ke muka sauk Jenderam Hilir dihentikan bagi menghalang aliran pencemaran memasuki Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih.

"LUAS turut menemukan bau serupa di kawasan sempadan Selangor berdekatan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan dan segera meletakkan activated carbon (AC) bagi nyahbau aliran tersebut.

"Usaha itu kemudian mengawal dan memulihkan kualiti aliran air tercemar berkenaan dalam tempoh sejam dengan merekodkan bacaan 0 ton jam 11.30 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jamaliah Jamaluddin memberitahu, selepas bacaan itu direkodkan tiga kali berturut-turut, air mentah berjaya disalurkan kepada loji sejurus sejam berikutnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, semakan lanjut LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati punca bau abnormal itu daripada kawasan luar negeri ini.

"Aliran bau itu disyaki dari sebuah premis di kawasan perindustrian berdasarkan penemuan dan semakan bau sama di pelepasan akhir premis ke longkang.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berkuasa mengarahkan premis itu segera menghentikan aliran pelepasan premis dan LUAS turut meletakkan AC selain mengambil sampel bagi analisa lanjut," ujarnya.

Tambah beliau, pemantauan statik sehingga jam 8 pagi Selasa mendapati bacaan bau di Sungai Semenyih adalah normal dan keadaan terkawal.