Kawasan berisiko banjir di Shah Alam terkawal

Hanya air bertakung di beberapa jalan di Seksyen 13 akibat longkang tersumbat.
Hanya air bertakung di beberapa jalan di Seksyen 13 akibat longkang tersumbat.
A
A
A

SHAH ALAM - Hujan lebat sejak jam 4 petang menyebabkan kawasan berisiko banjir dibimbangi dinaiki air secara mendadak namun keadaan dilaporkan terkawal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, TPgB Ahmad Nazmi Halil ketika dihubungi memaklumkan pemantauan dijalankan di tiga kawasan berisiko banjir bermula sejak jam 5 petang.

Beliau berkata, kawasan tersebut ialah di kawasan Sri Muda, Kampung Kebun Bunga Batu Tiga dan sekitar Seksyen 13.

"Rondaan dan pemantauan di lokasi hotspot berisiko didapati tiada kawasan dinaiki air dan berada dalam keadaan baik sewaktu pemantauan dijalankan, hanya beberapa tempat air bertakung akibat longkang tersumbat," katanya di sini pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata, pemantauan akan diteruskan kawasan berkenaan malah di kawasan lain yang berisiko dari semasa ke semasa sehingga keadaan dipastikan selamat.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, setakat ini kawasan rumah penduduk tidak dinaiki air dan keadaan trafik juga berjalan lancar di tiga kawasan berisiko berkenaan setakat jam 5.45 petang pada Isnin.

Keadaan di kawasan Sri Muda masih terkawal sehingga jam 5.45 petang pada Isnin.
Keadaan di kawasan Sri Muda masih terkawal sehingga jam 5.45 petang pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Selangor dengan 569 mangsa daripada 150 keluarga masih ditempatkan di pusat berkenaan, setakat jam 4 petang.

Artikel Berkaitan:

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam kenyataan berkata, kawasan yang terjejas adalah di daerah Gombak, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang.

Empat PPS masih dibuka di Sepang iaitu Dewan Orang Ramai Taman Gemilang yang menempatkan 49 mangsa daripada 15 keluarga manakala seramai 101 mangsa daripada 24 keluarga di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.

Seramai 89 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir dan 221 mangsa daripada 65 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 91 mangsa daripada 21 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di daerah Hulu Langat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih.

Seramai lima mangsa daripada tiga keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Seroja Kampung Bendahara, Gombak dan dua keluarga (13 mangsa) di PPS Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yam Bharu.