Hormati keputusan Lembaga Pengampunan - PM

Anwar. - Foto Bernama
Anwar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dan semua pihak perlu menghormatinya.

"Saya menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika itu. Sekarang kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong baharu. Apapun yang dirasakan oleh mana-mana pihak, sudah semestinya ia bersifat politik, ada yang menyokong, ada yang sebaliknya namun mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa mereka perlu menghormati hak semua yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.

"Kini Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Jika ada pihak yang berpuas hati maka ia dianggap sebagai keputusan yang adil, jika tidak berpuas hati maka mereka masih boleh mengemukakan rayuan," katanya ketika ditemu bual dalam program Al Jazeera Mubasher di sini pada Jumaat.

Anwar berkata demikian sebagai respons terhadap keputusan permohonan pengampunan Najib.

Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 selepas Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk meringankan hukuman beliau.

Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat keputusan itu semasa mesyuaratnya yang ke-61 pada 29 Jan lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Urussetia Lembaga Pengampunan hari ini, jumlah denda yang perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada jumlah asal iaitu RM120 juta kepada RM50 juta.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong, sebagai raja berperlembagaan, telah berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan beberapa lagi mengenai perkara itu.

Najib, 70, yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang menyaksikan pengampunan diraja adalah satu-satunya harapan beliau untuk membebaskan diri. - Bernama