Najib masih ada tiga kes jenayah di mahkamah

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 oleh Lembaga Pengampunan, berhubung kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, namun bekas Perdana Menteri ini masih berdepan tiga lagi kes jenayah lain, di Mahkamah Tinggi di sini.

Hampir setiap minggu, Najib, 71, dibawa ke mahkamah untuk prosiding penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin untuk memberi keterangan.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Bagi dua kes ini, ia masih di peringkat pengurusan kes, yang mana pertuduhan pecah amanah jenayah bagi kes IPIC, ia didengar di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Husin sementara AMLA di hadapan Hakim, K Muniandy.

Menyentuh kes pecah amanah jenayah, bekas ahli politik ini mengemukakan representasi kedua agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji enam pertuduhan yang dihadapi bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Perkara itu dibuat selepas representasi pertamanya telah ditolak tahun lalu.

Pada 3 Mac 2022, Muhammad Jamil menolak permohonan Najib, dan Mohd Irwan, 68, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.

Sementara pada 3 April tahun lalu pula, mahkamah diberitahu, prosiding kes pecah amanah mereka yang sepatutnya bermula pada hari tersebut, ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 30 hari bermula 4 Jun ini.

Tarikh-tarikh lain ialah 5, 6, 10, 11,12,13, 19, 20, 24 hingga 27 Jun manakala pada Julai bermula 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18, 22 hingga 25, dan 29 hingga 31.

Sementara bagi kes AMLA membabitkan dana SRC, bekas Presiden UMNO ini turut menghantar representasi pada 31 Julai tahun lalu, namun belum diputuskan AGC.

Susulan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, memohon mahkamah memberi perintah DNAA kepada anak guamnya kerana kes terbabit telah tertangguh hampir enam tahun.

Beliau berkata, sebanyak 26 prosiding dibuat di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) manakala empat di hadapan Muniandy.

Muniandy kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pada 17, 18,19, 23 dan 24 September depan.

Hakim ini berkata, sekiranya pada tarikh berkenaan pihak pendakwaan masih belum bersedia dengan status representasi, maka Najib boleh mohon DNAA atau dilepaskan dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan berkenaan.

Kes yang dihadapi Najib

1) SRC, (sudah dijatuhi hukuman)

Hukuman:

- Penjara 12 tahun kepada enam tahun (pengampunan)

- Denda, RM210 juta kepada RM50 juta

2) Kes penyelewengan dana 1MDB (masih di peringkat perbicaraan)

- Kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin untuk memberi keterangan.

3) Pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) - (masih di peringkat pengurusan kes)

4) Pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta (masih di peringkat pengurusan kes)

@sinarharianonline

Najib masih ada tiga kes jenayah di mahkamah #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Najib #Kes #Mahkamah #Jenayah #Keterangan #SPRM #1MDB # SRC #Bossku

Earned It (In the Style of Weeknd) [Karaoke Version] - Instrumental King