[VIDEO] Najib dapat pengampunan, bebas pada tahun 2028

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Spekulasi mengenai pembebasan awal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya terjawab apabila Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut kenyatan yang dikeluarkan urusetia lembaga tersebut, keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.

"Sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ( Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

"Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah memutuskan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

"Namun sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi beliau akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Najib Razak
Najib Razak

Kenyataan rasmi tersebut secara tidak langsung menamatkan teka-teki yang berlarutan sejak 30 Januari lalu apabila media melaporkan Lembaga Pengampunan bersidang sehari sebelum itu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa kemudian dilapor meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi dibuat kerajaan bagi mengetahui status Najib.

Khabar angin itu juga menyaksikan pelbagai spekulasi muncul termasuk wujud pihak yang mendakwa bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendapat pengampunan dan bakal dibebaskan.

Sebagai rekod, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) berumur 71 tahun itu menjadi bekas Perdana Menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun selepas gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.

Jika dihitung daripada tarikh pembebasan awal yang diberikan, beliau akan berusia 75 tahun pada tahun 2028, sekali gus tidak berpeluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasarkan kiraan tempoh satu penggal berakhir pada 2027.